8A SPM tak tercicir lagi? Lebih 169,000 ditawar masuk IPTA
Seramai 169,803 calon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menerusi sistem UPUOnline® bagi sesi kemasukan tahun ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan jumlah itu mewakili 72.11 peratus daripada keseluruhan 235,480 permohonan layak yang diterima daripada lepasan SPM di seluruh negara.
Daripada jumlah calon berjaya itu, seramai 91,357 menerima tawaran ke Universiti Awam (UA), manakala 60,947 lagi ke politeknik, 15,844 ke Kolej Komuniti dan 1,655 ke institusi di bawah MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Apa yang paling mendapat perhatian kali ini ialah komitmen kerajaan memastikan pelajar cemerlang dan kumpulan rentan tidak tercicir daripada akses pendidikan tinggi negara.
KPT memaklumkan semua calon yang memperoleh keputusan 8A dan ke atas turut diberikan perhatian khas bagi memastikan mereka mendapat peluang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Selain itu, Laluan Khas turut disediakan kepada pelbagai kategori termasuk 701 Orang Kurang Upaya (OKU), 310 Orang Asli, 179 atlet serta 10,499 calon daripada keluarga B40.
Malah, seramai 65 calon lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut berjaya menerima tawaran kemasukan ke IPTA tahun ini.
Dalam perkembangan sama, KPT turut mengumumkan bahawa buat pertama kali semua program pengajian dibuka untuk dipohon calon OKU berdasarkan kelayakan dan kesesuaian masing-masing sebagai usaha memperluas akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif.
Sebanyak 363 program pengajian ditawarkan bagi sesi kali ini melibatkan 41 program sijil, 57 asasi, 264 diploma dan satu program ijazah sarjana muda.
Menurut KPT, proses pemilihan dibuat sepenuhnya berdasarkan prinsip meritokrasi dengan semua calon disusun mengikut markah merit tertinggi hingga terendah.
Bagi calon yang masih belum berjaya mendapat tempat, kementerian membuka ruang rayuan melalui UPUOnline® selama 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei ini.
BACA JUGA Bukan lagi tanpa kawalan, akaun bawah 16 tahun kini jadi fokus SKMM