Hadi bela Zawawi, anggap SU Ulama Pas itu terpengaruh cerita sejarah ‘dongeng’?

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tampil mempertahankan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh susulan kontroversi ceramah membabitkan kisah beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak baru-baru ini.

Menurut Hadi, kenyataan yang dibuat Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu mungkin berpunca daripada kekeliruan antara sumber sejarah dan sumber agama yang sahih dalam Islam.

Katanya, Pas sudah memberi peringatan kepada Nik Zawawi selain menjelaskan bahawa tidak semua catatan sejarah boleh dijadikan sandaran agama.

“Kita telah beri peringatan kepada beliau dan saya telah menulis artikel disiarkan dalam Harakah, di sana ada perbezaan di antara penulisan sejarah dan penulisan al-Quran dan hadis.

“Dalam sejarah ia bebas, cerita dongeng pun ada dan macam-macam.

“Mungkin dia terpengaruh dengan penulisan-penulisan sejarah, penulisan sejarah tak boleh jadi dalil dalam Islam,” katanya pada sidang media di Rusila, Terengganu hari ini.

Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas akan mengambil tindakan terhadap Nik Zawawi susulan kontroversi ceramah yang didakwa menghina beberapa sahabat Nabi.

Sebelum ini, Nik Zawawi menjadi perhatian selepas ucapan dalam satu ceramah politik di Kuala Terengganu tular di media sosial apabila beliau menyentuh kisah kehidupan Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib sebelum memeluk Islam.

Dalam ceramah tersebut, Abu Bakar digambarkan sebagai “bapa ceti” manakala Umar pula didakwa mempunyai perangai ganas dan suka berzina sebelum Islam.

Kenyataan itu mencetuskan kecaman ramai termasuk dalam kalangan agamawan dan pengguna media sosial yang menganggap ucapan berkenaan melampaui batas serta boleh mengelirukan masyarakat.

Nik Zawawi pada peringkat awal mempertahankan ucapannya dengan menegaskan beliau tidak menghina sahabat Nabi, malah memaafkan pihak yang mengkritiknya.

Bagaimanapun, beliau kemudian tampil memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut selepas kontroversi itu terus memuncak.

Susulan isu berkenaan, Nik Zawawi turut disiasat polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan selepas beberapa laporan dibuat terhadapnya.

BACA JUGA 8A SPM tak tercicir lagi?  Lebih 169,000 ditawar masuk IPTA