Nik Zawawi telah diambil kenyataan oleh Jabatan Agama Terengganu, tunggu keputusan pendakwaan
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu telah memanggil dan mengambil kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh berikutan tindakan beliau yang dikatakan menghina Sababat Nabi.
Menurut sumber, beliau disiasat di bawah peruntukan menghina agama Islam dan boleh didakwa di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu.
“Ye dia dah dipanggil dan telah datang. Kita dah ambil kenyataan. Nasib baik dia datang, kalau tak mahkamah akan keluar waran tangkap,” kata sumber dari bahagian pendakwaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu.
Menurut sumber itu Nik Zawawi telah disiasat di bawah kesalahan menghina agama Islam di bawah akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah).
Had kuasa ini mengehadkan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah kepada formula Penjara: Maksimum 3 tahun, Denda Maksimum RM5,000 atau Sebatan Maksimum 6 kali.
Menurut sumber itu, kekuatan kes ini adalah pengakuan dari Ahli Parlimen Pasir Puteh itu yang beliau silap ketika mengungkapkan kata-kata menghina Saidina Abu Bakar dan Umar itu.
Nik Zawawi menjadi perhatian ramai selepas kandungan ceramahnya tular di media sosial apabila beliau mengulas kehidupan beberapa sahabat Rasulullah SAW sebelum mereka memeluk Islam.
Dalam ceramah itu, beliau didakwa menggambarkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebagai “bapa ceti” kerana dikatakan gemar memberi pinjaman wang, manakala Saidina Umar al-Khattab pula disebut mempunyai sifat keras dan gemar berzina sebelum menerima hidayah Islam.
Kenyataan berkenaan mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan agamawan dan pengguna media sosial yang menyifatkan penyampaian tersebut tidak wajar serta boleh menimbulkan salah faham terhadap tokoh-tokoh besar Islam.
Pada peringkat awal, Nik Zawawi mempertahankan ucapannya dan menegaskan beliau tidak berniat menghina para sahabat Nabi. Malah, beliau turut menyatakan memaafkan pihak yang mengecam kenyataannya.
Bagaimanapun, selepas kontroversi itu terus hangat diperkatakan, beliau tampil membuat permohonan maaf secara terbuka serta menarik balik kenyataan berkenaan.
Isu tersebut sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai keperluan semua pihak, khususnya tokoh politik dan agamawan, supaya lebih berhati-hati ketika menyampaikan ceramah melibatkan sejarah Islam serta tokoh-tokoh yang dihormati umat Islam.
BACA JUGA RENCANA | PN Berantakan, saling tidak percaya, adakah ini pilihan rakyat dalam PRU akan datang?