Susulan kenyataan Hadi, ‘perang’ meletus penyokong Pas-Bersatu di media sosial
Kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang membayangkan partinya akan menilai semula hubungan dengan Bersatu mula mencetuskan perang mulut dalam kalangan penyokong kedua-dua parti di media sosial.
Tinjauan di Facebook mendapati ruangan komen beberapa portal dan akaun politik dibanjiri pertikaman lidah antara penyokong Pas dan Bersatu, khususnya membabitkan isu sumbangan kewangan, kekuatan jentera pilihan raya serta masa depan Perikatan Nasional (PN).
Antara komen yang tular datang daripada seorang pengguna media sosial yang mendakwa Pas perlu “sedar diri” dan mengingatkan bahawa kempen PRU15 sebelum ini banyak bergantung kepada sumber kewangan Bersatu.
“Kalau Presiden Pas tidak reti menjaga mulut, binasalah PN. Barang diingatkan PRU15 guna duit siapa?” tulis pengguna berkenaan.
Kenyataan itu kemudian dibalas penyokong Pas yang mempertahankan kekuatan akar umbi parti Islam tersebut dan mendakwa Bersatu sebenarnya banyak bergantung kepada jentera Pas sepanjang pilihan raya.
“Ahli berapa orang? Jentera ada? Rasanya pekerja Mydin lagi ramai,” balas seorang lagi pengguna.
Seorang lagi penyokong Pas turut mendakwa parti itu mampu bergerak secara solo tanpa Bersatu sekiranya hubungan dalam PN terus tegang.
“Pas tanpa Bersatu boleh jalan solo,” tulisnya.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata Pas akan menilai semula kerjasama dengan Bersatu susulan beberapa tindakan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menjejaskan semangat setiakawan dalam PN.
Antara isu dibangkitkan ialah pemecatan beberapa pemimpin Bersatu di Kedah dan Kelantan serta tindakan dua ADUN Bersatu Negeri Sembilan menarik balik akuan bersumpah (SD) berkaitan sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Susulan kontroversi itu, Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini mengarahkan semua ahli dan pimpinan Pas supaya tidak membuat sebarang kenyataan atau ulasan mengenai perkembangan semasa tanpa kebenaran khas parti.
Arahan tersebut dilihat cuba meredakan ketegangan yang semakin memuncak dalam kalangan akar umbi kedua-dua parti komponen utama PN itu.
BACA JUGA Ahli, pimpinan Pas dilarang ulas isu Hadi-Bersatu tanpa izin parti