Lagi dekat PRU, lagi banyak politik kaum, agama – Abbas

Rakyat diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan permainan politik kaum dan agama yang dijangka semakin agresif menjelang pilihan raya akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata terdapat pihak tertentu yang akan terus menggunakan sentimen bangsa dan agama untuk memecah-belahkan masyarakat serta menanam kebencian terhadap kerajaan perpaduan.

“Semakin dekat pilihan raya, semakin ramai yang bertopengkan agama dan bangsa akan cuba cucuk rakyat dengan isu perkauman.

“Mereka mahu masyarakat bergaduh sesama sendiri sedangkan kerajaan negeri hari ini fokus membantu rakyat tanpa mengira kaum atau warna kulit,” katanya ketika berucap pada Ceramah Isu Semasa Pakatan Harapan Parlimen Kota Raja di sini hari ini.

Menurut Abbas, pentadbiran Selangor di bawah Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari tetap meneruskan pelbagai program kebajikan walaupun berdepan cabaran ekonomi global serta peningkatan kos sara hidup.

Katanya, Selangor yang merekodkan hasil negeri sekitar RM3 bilion tahun lalu masih mampu menyediakan bantuan dan inisiatif kepada kira-kira 7.4 juta penduduk.

Beliau berkata antara bantuan disediakan termasuk program Bingkas, baucar perayaan dan bantuan haji RM1,500 yang menurutnya sukar ditawarkan di beberapa negeri lain.

“Daripada lahir sampai meninggal dunia ada bantuan untuk rakyat. Kerajaan negeri ada 46 inisiatif untuk bantu rakyat.

“Yang penting bantuan ini bukan tengok Melayu, Cina atau India. Kalau rakyat memerlukan, kerajaan bantu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abbas berkata pengurusan kerajaan negeri kini semakin baik khususnya dalam menangani isu banjir dan bekalan air berbanding beberapa tahun lalu.

Menurutnya, kawasan seperti Bukit Lancong yang sebelum ini sering dilanda banjir kini menunjukkan banyak perubahan hasil usaha kerajaan negeri.

“Dulu Seri Serdang antara hotspot banjir, sekarang banyak kawasan sudah semakin baik.

“Memang Selangor masih ada isu banjir tapi kita akui dan cari jalan selesaikan bukan sekadar cakap,” katanya.

Abbas turut menegaskan bahawa pentadbiran Selangor memberi penekanan terhadap soal integriti dan tadbir urus bersih supaya hasil negeri dapat dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan.

“Kita bukan kata kerajaan ini sempurna tetapi kita jaga integriti. Bila kurang rasuah dan ketirisan, duit itu boleh dipulangkan semula kepada rakyat,” katanya.

Beliau pada masa sama menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan institusi Islam di Selangor.

Katanya, tiada masjid dirobohkan, imam dipecat atau tadika Islam ditutup sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan di negeri itu.

Dalam ucapannya, Abbas turut memaklumkan kerajaan negeri akan meneliti semula isu peningkatan elaun guru Pasti menerusi Exco agama negeri.

BACA JUGA Nak bantu rakyat atau nak buat ‘photo kenangan? – Chin Tong kritik agihan BKJ Johor