Aishah Zain, muka baharu jadi taruhan AMANAH
Parti Amanah Negara (AMANAH) dilihat mula mempertaruhkan lebih ramai pemimpin muda apabila mengetengahkan figura wanita muda, Aishah Zain dalam program ceramah isu semasa di Parlimen Kota Raja, semalam.
Menerusi perkongsiannya di TikTok, Aishah berkata beliau berkesempatan menyampaikan ceramah dalam Program Ceramah Isu Semasa Pakatan Harapan (PH) Selangor yang berlangsung di Tapak Penjaja Alam Megah, DUN Kota Kemuning.
Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH Nasional itu berkata, antara perkara yang disentuh dalam ucapan beliau ialah pelbagai inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor dalam menjaga kebajikan rakyat.
Jelasnya, usaha itu termasuk memperkukuh bantuan sosial, pembangunan komuniti serta memastikan agenda pembangunan negeri dapat dinikmati secara menyeluruh oleh semua lapisan masyarakat tanpa ada yang tercicir.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pimpinan, jentera parti serta seluruh hadirin yang hadir memeriahkan program ini.
“Insya-Allah, usaha turun padang dan mendekati rakyat akan terus diperkukuhkan demi memastikan suara masyarakat sentiasa didengar dan diperjuangkan,” kata Aishah lagi yang juga Ahli Majlis MPP Zon 8 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
BACA JUGA Bersatu tepis tuduhan Pas, dedah kronologi apa yang jadi ketika konflik Negeri Sembilan