Sampai bila bekalan minyak kita boleh bertahan? Ini jawapan Menteri Ekonomi
Bekalan minyak negara dijamin akan mencukupi sehingga Julai depan meskipun dunia berhadapan ketidaktentuan harga minyak mentah ketika ini, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata kerajaan akan terus memantau ketidaktentuan melibatkan Selat Hormuz serta kenaikan harga tenaga global.
“Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dimaklumkan bahawa Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) telah memberi jaminan bahawa stok bekalan minyak negara adalah mencukupi sehingga Julai ini,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global, hari ini.
Akmal berkata harga purata minyak mentah antara 18 hingga 22 Mei kini mencecah AS$111.67 setong, meningkat 1.7 peratus berbanding AS$109.85 pada minggu sebelumnya.
Harga minyak Brent yang kekal tinggi melebihi paras AS$100 setong menyebabkan peningkatan kos pengangkutan dan harga barang, sekali gus mencerminkan pasaran tenaga global yang masih tidak menentu akibat risiko geopolitik.
Beliau berkata harga makanan domestik secara amnya masih terkawal antara 18 hingga 21 Mei, dengan perubahan harga antara penurunan 2% hingga kenaikan 3.6%.
Tambahnya, kerajaan akan terus memantau harga dan menggesa pengguna menggunakan aplikasi PriceCatcher untuk membandingkan harga dan membuat pembelian secara lebih bijak.
BACA JUGA Pas pilih bulu, Nik Zawawi patut dilucut jawatan dari Majlis Syura Ulama