Air bocor RM200 juta setahun, rakyat Terengganu kini perlu bayar harga salah urus?

Isu bekalan air di Terengganu kembali menjadi perhatian selepas pendedahan mengenai kerugian besar yang ditanggung negeri akibat masalah air tidak berhasil (NRW) yang semakin meruncing.

Menerusi satu kenyataan yang tular di media sosial, kumpulan Greater Terengganu Development mendakwa negeri itu kini mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun susulan ketidakcekapan pengurusan sistem bekalan air.

Menurut kenyataan tersebut, kira-kira 70 peratus daripada kerugian itu berpunca daripada kebocoran paip lama dan usang, manakala baki 30 peratus lagi dikaitkan dengan kerosakan meter serta kegiatan kecurian air.

Kumpulan itu berkata, keadaan berkenaan sepatutnya menjadi amaran serius kepada pihak pentadbiran negeri kerana beban akhirnya terpaksa ditanggung rakyat melalui kenaikan tarif air.

“Jika hanya suku daripada masalah ini berjaya diatasi, rakyat Terengganu mungkin tidak perlu menanggung kenaikan bil air hampir sekali ganda bermula tahun lalu,” menurut kenyataan itu.

Mereka turut membandingkan situasi semasa dengan keadaan sebelum 2018 apabila masalah NRW tetap wujud, namun kerugian tahunan dianggarkan sekitar RM50 juta sahaja.

Menurut mereka, kadar kerugian yang lebih rendah ketika itu membolehkan kerajaan negeri mengekalkan tarif air tanpa kenaikan selama hampir dua dekad.

“Namun hanya dalam tempoh kira-kira lapan tahun selepas itu, kadar kerugian NRW meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda,” katanya lagi.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada pengakuan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) mengenai tahap kehilangan air yang semakin membimbangkan.

Greater Terengganu Development turut berharap kepimpinan negeri dapat memberi tumpuan serius terhadap isu asas rakyat itu dan memastikan pengurusan air dilakukan secara lebih cekap serta berkesan.

“Semoga pimpinan negeri yang diberi amanah jawatan mempunyai kesungguhan untuk menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat Terengganu,” katanya.

BACA JUGA Aishah Zain ajak wanita muda sertai Wanita Muda AMANAH