JPJ ‘U-Turn’, urusan tukar hak milik online dibuka semula

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju mengembalikan semula perkhidmatan urus niaga Tukar Hak Milik (THM) kenderaan secara dalam talian berkuat kuasa serta-merta selepas penangguhan sistem itu mencetuskan kebimbangan pengguna.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli susulan laporan media mengenai penangguhan perkhidmatan berkenaan malam tadi.

Menurut beliau, JPJ sebelum ini memaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengenai berlakunya penyalahgunaan dan penipuan dalam sistem pertukaran hak milik kenderaan sehingga menyebabkan liabiliti yang perlu ditanggung pihak JPJ.

Katanya, keadaan itu memerlukan penambahbaikan sistem dilakukan dengan kadar segera.

“Namun, saya telah menasihati JPJ supaya memastikan kerja penambahbaikan sistem tidak mengganggu urusan harian pengguna biasa dan tidak menyebabkan kesesakan besar di pejabat JPJ,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Anthony berkata sebarang kerja penambahbaikan sistem selepas ini akan dilakukan semasa cuti panjang hujung minggu bagi mengurangkan kesan kepada pengguna.

Terdahulu, media melaporkan semua urus niaga THM kenderaan secara dalam talian ditangguhkan sementara bermula hari ini.

Penangguhan itu melibatkan semua saluran digital termasuk portal awam JPJ, kios serta platform rakan niaga seperti MyEG dan eAuto.

Langkah tersebut sebelum ini menimbulkan kebimbangan pengguna kerana ramai bimbang penutupan sistem digital akan menyebabkan kesesakan di kaunter JPJ sekiranya semua urusan perlu dilakukan secara fizikal.

Keputusan membuka semula sistem itu dilihat sebagai usaha mengimbangi keperluan keselamatan sistem dengan kemudahan rakyat yang semakin bergantung kepada urusan digital kerajaan.

BACA JUGA Bil melambung, gagal urus air, rakyat Terengganu ‘hujani’ kemarahan di media sosial?