Selepas empat hari dicari, bomba dedah butiran penemuan jasad Nur Izzati
Selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nur Izzati Humaira Azizul di Bukit Changkat Asa, dekat Tanjong Malim akhirnya jasad remaja berusia 19 tahun itu ditemukan di kawasan landai.
Anak kedua kepada Azizul Abdul Aziz, 48, itu ditemukan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dalam keadaan terlentang pada 11.59 pagi di luar laluan pendakian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, tiada kesan kecederaan yang dapat dilihat pada jasad serta sempurna tanpa kesan serangan haiwan liar.
“Memandangkan Nur Izzati Humaira berpakaian baju lengan panjang ketika kejadian, tiada sebarang tanda kecederaan fizikal ketara dapat dilihat pada luaran,” katanya.
Menurutnya, mangsa ditemukan kira-kira enam meter dari laluan ke kawasan kebun, iaitu kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Beliau berkata, mayat diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
Terdahulu, SAR yang masuk hari keempat hari ini dimulakan pada 8 pagi tadi membabitkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada 6.30 petang semalam.
Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi, 23 Mei lalu ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.
BACA JUGA RON95 kekal RM1.99 walau Asia Barat bergolak, PM beri jaminan bekalan minyak cukup