Hargai peranan Pakistan, Anwar percaya dialog jalan terbaik selesai konflik Asia Barat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia menghargai peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), termasuk kesediaan Islamabad menjadi tuan rumah rundingan seterusnya.
Menurut Anwar, perkara itu dibincangkan ketika beliau mengadakan panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif.
Katanya, kedua-dua pemimpin turut menyentuh perkembangan positif rundingan antara Iran dan AS termasuk isu pembukaan semula Selat Hormuz yang dianggap amat penting kepada kestabilan perdagangan global dan keselamatan serantau.
“Saya menyatakan penghargaan Malaysia akan peranan Pakistan dalam usaha pengantaraan berterusan serta kesediaannya menjadi tuan rumah bagi rundingan seterusnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa segala pertikaian antarabangsa perlu diselesaikan melalui dialog, diplomasi dan pendekatan damai demi menjamin kestabilan Asia Barat.
Menurut beliau, Malaysia dan Pakistan turut berbincang mengenai keperluan masyarakat antarabangsa mengambil langkah lebih tegas untuk menghentikan keganasan dan kekejaman Israel terhadap orang awam di Gaza serta Lebanon.
Dalam perbualan itu, Anwar turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada Shehbaz dan rakyat Pakistan dengan harapan semangat pengorbanan serta persaudaraan terus memperkukuh keamanan dan kesejahteraan ummah.
Beliau berkata hubungan Malaysia-Pakistan akan terus diperkukuh berasaskan semangat persahabatan, saling menghormati dan komitmen bersama terhadap keamanan sejagat.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri turut menyumbangkan seekor lembu korban kepada pengamal media Negeri Sembilan sempena Aidiladha.
Sumbangan tersebut disalurkan bagi menjayakan ibadah korban bersama pengamal media di negeri berkenaan.
BACA JUGA Ini sebenarnya klasifikasi kes Nur Izzati