“Bukan nak satukan Melayu?” – Marzuki dedah akal Hamzah kuasai Bersatu, PN
Bekas Setiausaha Sulit Kanan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa pemecatan Datuk SeriHamzah Zainudin bukan berpunca daripada usaha menyatukan orang Melayu, sebaliknya kerana didakwa menjadi punca perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan panjang di Facebook, Marzuki mendakwa Hamzah mula menggerakkan usaha menjatuhkan Muhyiddin sebaik sahaja dilantik sebagai Timbalan Presiden Bersatu tanpa bertanding hasil sokongan Presiden parti itu sendiri.
Menurut beliau, Hamzah sebelum itu tidak mempunyai kedudukan besar dalam Bersatu sehingga Muhyiddin melantiknya sebagai Setiausaha Agung dan kemudian memberi laluan untuk beliau menang jawatan Timbalan Presiden tanpa pertandingan.
Marzuki mendakwa Muhyiddin sendiri memujuk Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya tidak bertanding jawatan Timbalan Presiden demi memberi laluan kepada Hamzah.
“Tugas Timbalan Presiden dalam Perlembagaan Bersatu ialah membantu Presiden. Tetapi Hamzah bukan sahaja tidak membantu Presiden, malah menjalankan gerakan menjatuhkan Presiden secara terang-terangan,”dakwanya.
Menurut Marzuki, Hamzah memilih strategi menjadi Timbalan Presiden terlebih dahulu sebelum mendesak Muhyiddin berundur supaya beliau boleh memangku jawatan Presiden seperti diperuntukkan dalam perlembagaan parti.
Beliau mendakwa langkah itu membolehkan Hamzah mengambil alih jawatan Presiden Bersatu dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi PN dengan sokongan Pas serta parti-parti lain dalam gabungan tersebut.
“Tanpa susah payah bertanding, dia mendapat jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional di atas dulang perak,” katanya.
Marzuki turut mendakwa Hamzah menggerakkan usaha mempengaruhi ketua-ketua bahagian Bersatu supaya mendesak Muhyiddin berundur melalui gerakan mengumpul tandatangan.
Menurut beliau, Hamzah menggunakan beberapa naratif termasuk dakwaan kononnya Presiden Pas memberi sokongan kepada usaha menjatuhkan Muhyiddin.
Beliau mendakwa cerita tersebut dikaitkan dengan satu pertemuan melibatkan pemimpin Pas dan Bersatu di pejabat Hamzah di Bukit Tunku yang dikenali sebagai “White House”.
Bagaimanapun, Marzuki berkata beliau sendiri pernah memaklumkan perkara itu kepada seorang pemimpin kanan Pas yang kemudian menafikan penglibatan Presiden Pas dalam gerakan tersebut.
Selain itu, beliau turut mendakwa Hamzah menjaja naratif kononnya kerjasama antara Bersatu, Pas dan Umno boleh dibentuk sekiranya Muhyiddin disingkirkan terlebih dahulu.
Namun katanya, beberapa pemimpin kanan Umno yang ditemuinya menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “karut”.
“Malah mereka beritahu saya Umno tidak percaya kepada Hamzah,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Marzuki turut mendakwa nama Istana Negara turut digunakan sebagai modal politik bagi meyakinkan sebahagian pemimpin dan ahli Bersatu bahawa Hamzah mempunyai sokongan tertentu untuk mengambil alih kepimpinan parti.
Menurut beliau, strategi “tebuk atap” yang digerakkan akhirnya gagal membentuk kerajaan, namun menyebabkan perpecahan dalaman dalam Bersatu dan PN.
“Tebuk atap tak jadi, tapi parti yang pecah,” katanya.
Marzuki menegaskan Hamzah tidak dipecat kerana mahu menyatukan orang Melayu seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya kerana tindakannya sendiri yang didakwa memecah-belahkan parti.
“Beliau dipecat bukan kerana ingin mencari titik penyatuan Melayu, tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan,” katanya.
BACA JUGA Bukan sekadar cakap, MADANI aktif buka laluan pembiayaan untuk PMKS