Trump ugut Oman pula?

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencetuskan kontroversi baharu selepas mengeluarkan ancaman keras terhadap Oman ketika rundingan damai melibatkan Iran masih berlangsung.

Ketika bercakap dalam mesyuarat Kabinet di White House pada Rabu, Trump memberi amaran bahawa Oman perlu “berkelakuan baik” atau berdepan tindakan ketenteraan AS.

“Oman akan berkelakuan baik seperti negara lain, atau kami terpaksa meletupkan mereka. Mereka faham perkara itu,” kata Trump.

Bagaimanapun, White House tidak menjelaskan punca sebenar kenyataan tersebut, manakala Oman setakat ini belum memberikan reaksi rasmi.

Oman sebelum ini memainkan peranan penting sebagai pengantara antara AS dan Iran, termasuk dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik yang tercetus sejak serangan Washington dan Israel ke atas Tehran pada 28 Februari lalu.

Laporan media antarabangsa turut menyebut Oman sedang bekerjasama dengan Iran bagi membangunkan sistem tol untuk kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz — antara tuntutan utama Tehran dalam rundingan damai semasa.

Sebahagian wilayah Oman terletak di hujung selatan Selat Hormuz, bertentangan secara langsung dengan Iran di laluan perdagangan strategik tersebut.

Trump bagaimanapun menegaskan Selat Hormuz ialah perairan antarabangsa dan tidak boleh dikawal mana-mana negara.

“Tiada siapa akan mengawal selat itu. Kami akan memantaunya,” katanya.

Beliau turut memberi bayangan bahawa rundingan damai dengan Iran masih belum mencapai tahap memuaskan.

“Saya tidak puas hati dengannya, tetapi kami akan sampai ke situ. Jika tidak, kami mungkin perlu habiskan sahaja tugas itu,” katanya merujuk kepada kemungkinan tindakan ketenteraan baharu.

Menurut Trump, Iran kini semakin hampir memenuhi tuntutan AS walaupun rundingan masih berjalan.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut menolak kemungkinan China atau Rusia mengambil alih simpanan uranium diperkaya Iran sebagai sebahagian penyelesaian konflik.

“Saya tidak selesa dengan perkara itu,” katanya lapor Anadolu Agensi.

Ketegangan di Asia Barat meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran pada Februari lalu sebelum Tehran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu serta penutupan Selat Hormuz.

Walaupun gencatan senjata dimeterai melalui pengantaraan Pakistan pada 8 April, rundingan susulan di Islamabad gagal menghasilkan persetujuan muktamad.

Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata tanpa had sambil meneruskan sekatan terhadap kapal yang berurusan dengan pelabuhan Iran di Selat Hormuz.

BACA JUGA Hargai peranan Pakistan, Anwar percaya dialog jalan terbaik selesai konflik Asia Barat