PJ dah lama sesak, Hospital Awam 500 katil akhirnya dapat lampu hijau

Selepas bertahun-tahun isu kekurangan hospital awam di Petaling Jaya dipersoalkan penduduk, kerajaan akhirnya mengesahkan tapak bagi pembinaan Hospital Awam Petaling Jaya berkapasiti 500 katil sudah dipersetujui bersama antara Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat penyelarasan terkini pada 14 Mei lalu melibatkan agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tempatan.

“Pengumuman ini memperlihatkan kerjasama utuh antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam membuat keputusan berkaitan kesihatan awam khususnya pembinaan dan pengoperasian hospital,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Amirudin, usaha mencari tapak sesuai bagi pembinaan hospital awam di Petaling Jaya sudah digerakkan sejak 2018 susulan pertumbuhan pesat penduduk di daerah Petaling yang kini dianggarkan mencecah 2.3 juta orang.

Daripada jumlah itu, lebih 800,000 penduduk menetap di Petaling Jaya sahaja.

Katanya, ketika ini penduduk sekitar masih bergantung kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Shah Alam dan Pusat Perubatan Universiti Malaya yang semakin tertekan akibat kepadatan penduduk tinggi.

Menurut beliau, lokasi yang dipersetujui KKM memenuhi beberapa keperluan penting termasuk akses jalan, kapasiti pembangunan, kos tanah dan kedudukan berhampiran kawasan tumpuan penduduk.

Amirudin berkata hospital baharu itu juga dirancang menggunakan konsep pembangunan vertikal seperti Hospital Ampang bagi mengoptimumkan penggunaan tanah serta kos pembinaan.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri sebelum ini sudah bekerjasama dengan KKM dalam pembangunan beberapa hospital lain termasuk Hospital Cyberjaya, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Kapar.

“Kerajaan Negeri bersedia memudah cara dan menyegerakan proses urusan tanah supaya pembinaan Hospital Petaling Jaya oleh KKM dapat memberi manfaat kepada penduduk Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong,” katanya.

Isu pembinaan hospital awam di Petaling Jaya sebelum ini menjadi perhatian ramai selepas penduduk meluahkan kemarahan kerana projek itu dilihat tiada perkembangan walaupun keperluannya semakin mendesak.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad sebelum ini menjelaskan rancangan awal mengambil alih tanah persendirian berhampiran Jalan Klang Lama terpaksa dibatalkan kerana kos pengambilalihan terlalu tinggi.

Menurut beliau, KKM perlu berbelanja secara berhemah bagi memastikan hospital yang dibina bukan sahaja selesa tetapi turut dilengkapi teknologi perubatan moden.

“Namun, KKM tidak akan mengambil jalan mudah dengan memindahkan hospital ini ke lokasi yang jauh semata-mata untuk menjimatkan kos.

“Kebajikan dan kemudahan rakyat akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.

BACA JUGA Hargai peranan Pakistan, Anwar percaya dialog jalan terbaik selesai konflik Asia Barat