Bukan boikot? PKR Kedah sanggah tuduhan PeSAWAH tak tepat

Dakwaan kononnya sebahagian besar pesawah di Kedah memboikot musim penanaman padi akibat isu diesel disifatkan tidak tepat dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Setiausaha Politik Kanan Presiden PKR merangkap Exco Biro Pertanian parti itu, Datuk Romli Ishak berkata data Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan lebih 50,000 keluarga pesawah sedang dan telah mengusahakan penanaman padi bagi musim ini.

Menurut beliau, keadaan itu bercanggah dengan dakwaan Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) sebelum ini yang mendakwa hanya sekitar 10 peratus pesawah di Kedah turun mengerjakan sawah susulan isu diesel.

“Perkara ini sedang kita usahakan bersama. Pada masa sama, kita berharap tiada kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau kegusaran dalam kalangan pesawah,” katanya kepada pemberita selepas Program Ibadah Korban dan Agihan Daging Korban di Jerlun.

Romli berkata pihaknya turut turun padang bertemu pesawah dan nelayan bagi memberi penerangan mengenai isu bekalan diesel selain membantu proses pendaftaran permit subsidi diesel.

Katanya, pelbagai usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan pesawah terus terbela dan proses penanaman tidak terganggu.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Kedah berkata hasil tuaian padi musim lalu sememangnya agak rendah, namun faktor utama bukan berpunca daripada isu diesel.

Sebaliknya menurut beliau, keadaan cuaca tidak menentu menjadi antara penyebab utama hasil pengeluaran merosot.

Dalam masa sama, Romli berkata kerajaan turut menyalurkan bayaran pendahuluan Insentif Pembajakan kepada pesawah sebanyak RM200 sehektar di Semenanjung Malaysia.

Katanya, bantuan tersebut mula disalurkan secara berperingkat sejak 19 Mei lalu melibatkan pesawah berdaftar di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan bagi musim semasa.

Terdahulu, Persatuan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa sebahagian besar pesawah di Kedah memboikot musim penanaman kali ini kerana berdepan masalah berkaitan diesel subsidi.

BACA JUGA Dasar Baharu Fed AS, pertunjuk gagal urus krisis fiskal