Malaysia ungguli ekonomi Islam paling kukuh dunia, bukti tatakelola diyakini global
Pencapaian terbaru Malaysia sebagai ekonomi Islam paling kukuh di dunia bagi tahun 2025 membuktikan bahawa dasar Kerajaan MADANI yang berteraskan kestabilan dan tatakelola baik, terus diyakini di peringkat antarabangsa.
Pengiktirafan itu dikeluarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2024/2025.
Kedudukan Malaysia di tangga pertama mengatasi beberapa negara Islam utama dunia, memperlihatkan kekuatan sistem kewangan Islam, industri halal, inovasi serta ekosistem pembangunan negara yang diyakini masyarakat global.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pencapaian ini merupakan hasil kestabilan politik, dasar ekonomi yang jelas serta komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju negara.
“Kejayaan Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai ekonomi Islam terbaik dunia membuktikan bahawa pendekatan Malaysia MADANI berjaya meletakkan negara di landasan yang kukuh, progresif dan dihormati dunia. Ini adalah kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkukuh agenda pembangunan rakyat termasuk penyediaan perumahan berkualiti, pembangunan bandar mampan dan kesejahteraan komuniti demi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai secara menyeluruh.
Menurut beliau lagi, Kerajaan MADANI akan terus bekerja kuat memastikan kemakmuran negara diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat, peluang ekonomi yang lebih luas serta pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
KPKT menyeru rakyat untuk terus bersama-sama mempertahankan kestabilan, perpaduan dan keyakinan terhadap agenda pembangunan negara demi memastikan Malaysia terus dihormati dan disegani di peringkat antarabangsa.
BACA JUGA Berlegar rakaman MB Perlis tembak lembu korban, orang awam persoal kesahan ibadah