Fahmi sifatkan wartawan benteng maklumat sahih, pertahan integriti maklumat
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, peranan wartawan tidak terbatas kepada mencatat peristiwa semata-mata, sebaliknya menjadi suara penting dalam menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi.
Beliau berkata, dalam era fitnah yang boleh tersebar dalam sekelip mata, wartawan berdiri di barisan hadapan sebagai benteng yang mempertahankan integriti maklumat.
“Setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi, kerana kepercayaan masyarakat bukan sesuatu yang boleh diperoleh dengan mudah, tetapi lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang konsisten,” katanya sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Fahmi turut menekankan apabila integriti dijadikan pegangan, dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan akan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita, tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan.
Sambutan HAWANA 2026 dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 20 Jun ini, mengangkat tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti, dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di PICCA @ Arena Butterworth.
BACA JUGA Malaysia ungguli ekonomi Islam paling kukuh dunia, bukti tatakelola diyakini global