Anwar : Baucar buku diteruskan, tiada istilah tamat di era MADANI

Walaupun kerajaan berdepan pelbagai kekangan kewangan, Perdana Menteri datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantuan Baucar Buku Madani tidak akan dihentikan kerana pendidikan mesti terus menjadi keutamaan negara.

Beliau mengumumkan kerajaan akan meneruskan pemberian Baucar Buku Madani bernilai RM100 kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) serta mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut Anwar, keputusan itu dibuat kerana akses kepada buku dan ilmu tidak boleh diketepikan walaupun kerajaan perlu berbelanja secara berhemah.

“Saya berpendapat soal buku dan pendidikan tidak boleh diketepikan dan mesti terus diberikan keutamaan.

“Justeru, semua pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan mahasiswa IPT di bawah KPT akan menerima bantuan RM100 seorang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) hari ini.

Bagaimanapun, Anwar mengakui kemampuan kewangan kerajaan ketika ini hanya membolehkan bantuan tersebut diberikan kepada dua kelompok berkenaan.

“Namun, saya ingin tegaskan bahawa berdasarkan kemampuan kewangan semasa, bantuan ini hanya melibatkan pelajar sekolah menengah di bawah KPM dan mahasiswa IPT di bawah KPT,” katanya lagi.

Pengumuman itu disambut baik oleh warga pendidikan kerana Baucar Buku Madani dilihat membantu mengurangkan beban pelajar dan keluarga dalam mendapatkan bahan bacaan serta rujukan akademik.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan MADANI memberi penekanan kepada budaya membaca dan pengukuhan ekosistem ilmu sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan negara.

Anwar sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa pembinaan negara tidak boleh bergantung kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya perlu disokong oleh masyarakat yang berilmu, berbudaya membaca dan mempunyai daya fikir yang tinggi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

PBAKL merupakan acara buku terbesar negara yang menghimpunkan penerbit, penulis, pengkarya dan pencinta buku dari dalam serta luar negara setiap tahun.

BACA JUGA Polis siasat MB Perlis video tembak lembu korban