Tayangan filem Konspirasi ditarik penerbit – Finas

Kontroversi penamatan tayangan filem Konspirasi akhirnya mendapat penjelasan rasmi apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menegaskan keputusan menghentikan tayangan filem itu bukan arahan kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa.

Sebaliknya, menurut FINAS, penamatan tayangan filem berkenaan dibuat atas permintaan penerbit sendiri.

Dalam satu kenyataan media hari ini, FINAS memaklumkan pihaknya menerima maklumat bahawa filem Konspirasi telah dihentikan tayangan di seluruh pawagam Malaysia bermula 28 Mei lalu.

Menurut FINAS, maklumat tersebut diperoleh daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dan Media Prima Berhad selaku pengedar yang berurusan dengan rangkaian pawagam.

“Berdasarkan e-mel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn Bhd, telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan,” menurut kenyataan itu.

FINAS berkata semakan lanjut bersama pihak pengedar dan pemamer filem mendapati keputusan berkenaan dibuat oleh penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak.

Penjelasan itu dibuat selepas timbul pelbagai spekulasi di media sosial mengenai punca filem berkenaan dihentikan tayangan hanya seminggu selepas ditayangkan.

Menurut FINAS, filem Konspirasi sebelum ini telah memperoleh kelulusan rasmi daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026.

Filem itu mula ditayangkan di 120 skrin pawagam di seluruh negara bermula 21 Mei lalu.

Bagaimanapun, FINAS memaklumkan pihaknya masih berusaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung keputusan menghentikan tayangan tersebut.

“Sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan,” menurut kenyataan itu.

FINAS berkata pihaknya akan terus mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan baharu dari semasa ke semasa.

Penjelasan rasmi itu dijangka meredakan dakwaan bahawa filem berkenaan ditarik tayangan akibat campur tangan pihak tertentu, apabila siasatan awal FINAS mendapati keputusan tersebut dibuat atas permintaan penerbit sendiri.

BACA JUGA Polis siasat MB Perlis video tembak lembu korban