‘Ronnie Liu tarik balik tuduhan atau berdepan tindakan undang-undang’ – AMANAH Selangor
AMANAH Negeri Selangor menggesa Ronnie Liu untuk menarik semula tuduhan melampau yang dibuat terhadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Dr Izham Hashim berhubung isu penternakan babi di negeri itu.
Pengarah Komunikasinya, Abbas Azmi berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika kenyataan yang dibuat tidak ditarik balik dan tidak memohon maaf atas tuduhan tersebut.
“AMANAH Negeri Selangor meminta Ronnie Liu menarik balik tuduhan yang telah dibuat dan berhati hati ketika membuat apa apa kenyataan agar tidak menyinggung mana mana pihak apatah lagi menyentuh titah Sultan Selangor.
“AMANAH Negeri Selangor tidak teragak agak untuk mengambil tindakan undang undang jika kenyataan yang dibuat tidak ditarik balik dan tidak memohon maaf diatas tuduhan yang dilihat melampau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk kenyataan bekas pemimpin DAP itu yang menyalahkan Izham berhubung beberapa keputusan berkaitan industri penternakan babi di Selangor.
Abbas berkata, seharusnya Liu memahami bahawa isu ini mendapat perhatian Sultan Selangor sehingga keluar titah untuk memberhentikan segala aktiviti penternakan babi, disebabkan ia melibatkan pencemaran dan maslahat umum.
Begitu juga penyebaran Virus yang terbaru African Swine Fever (ASF) yang berleluasa.
Maka kata beliau, titah Tuanku Sultan berkenaan isu ini amatlah bertepatan dengan masa dan keadaan pada hari ini.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Liu seolah-olah tidak memahami konsep Rukun Negara serta sistem pentadbiran yang diamalkan di Selangor.
“Sangat tidak beretika apabila Ronnie Liu membuat kenyataan seolah-olah tidak memahami konsep Rukun Negara dan sistem pentadbiran negara serta negeri yang diamalkan di negeri Selangor ini.
“Bahkan Saudara Ronnie Liu pernah menjawat sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dahulu ketika Saudara Ronnie Liu sebagai Pimpinan DAP.
“Namun setelah tidak lagi menjadi pimpinan dan ahli parti DAP, nada sudah berubah seolah – olah tidak pernah terlibat dengan Kerajaan negeri,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa tuduhan ke atas Izham adalah satu tuduhan yang tidak berasas dan melampau.
BACA JUGA Senarai kegagalan Pas Kelantan tepati janji PRU14 dan PRU15