Menangis lah hadap jem hari ini, rakyat Malaysia pakat kongsi keadaan lebuh raya 

“Menangis lah hadap jem hari ini”. Itu antara perkongsian rakyat Malaysia apabila jalan raya dan lebuh raya utama di seluruh negara dipenuhi kenderaan sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Menerusi perkongsian di media sosial, ramai pengguna jalan raya melaporkan terperangkap dalam kesesakan selama berjam-jam ketika menuju ke destinasi masing-masing.

Seorang pengguna memaklumkan perjalanan dari Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Parit Buntar, Perak yang kebiasaannya mengambil masa kira-kira 45 minit, bertukar menjadi hampir dua jam akibat aliran trafik yang sangat perlahan.

Di Lebuhraya Utara-Selatan pula, kesesakan dilaporkan berlaku dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur.

Antara perkongsian yang menarik perhatian netizen ialah pengguna media sosial, @chek_aynn, yang berkata:

“Melaka ke Seremban. Yang lalu Rembau harap bersabar. Kereta depan sekali perlahan. Haha. Saya baru sampai Melaka dari Seremban”.

Seorang lagi pengguna, @bonda_aien86, juga berkongsi situasi berdepan perjalanan yang jauh lebih lama daripada kebiasaan.

“Saya dari Klang ke Melaka dah tiga jam, baru sampai Senawang. Menangis la hadap jem hari ni, kiri kanan jem.”

Di utara tanah air, @fikripudzi turut berkongsi keadaan trafik yang luar biasa di Pulau Pinang. “Hampa cari apa ni kat Penang? Jalan yang selalu clear pun jem panjang macam ni.”

Sementara itu, pengguna @literally.mie pula meminta orang ramai di Terengganu supaya tidak keluar rumah berikutan kesesakan yang teruk. “Warga Terengganu please stay at home hari ni. Jalan jem sungguhhh.”

Bagi pengguna yang melalui laluan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur, @faizjela2025 mendakwa kesesakan turut berpunca daripada kerja penyelenggaraan jalan yang menyebabkan dua lorong ditutup di kawasan Melaka.

“JB-KL jem sebab ada maintenance tutup dua jalan. Area Melaka tadi. Harap maklum.”

Tinjauan di media sosial mendapati perkongsian mengenai kesesakan trafik membanjiri pelbagai platform sejak pagi tadi, dengan ramai netizen berkongsi gambar dan video keadaan lebuh raya yang dipenuhi kenderaan.

Walaupun terpaksa berdepan perjalanan yang lebih panjang daripada biasa, kebanyakan pengguna jalan raya dilihat mengambil situasi itu dengan santai sambil berharap dapat tiba di destinasi masing-masing dengan selamat untuk menyambut Aidiladha bersama insan tersayang.

BACA JUGA Kerajaan tunai janji MA63, Geran Khas Interim Sabah naik lebih dua kali ganda kepada RM1.5 bilion