Walau hanya ada dua DUN di Melaka, PN mahu tanding semua 28 kerusi
Perikatan Nasional (PN) akan meletakkan calon bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Timbalan Presiden PN, Tan Sri Mahiaddin Yassin berkata, pembahagian kerusi akan dimuktamadkan menerusi rundingan bersama parti komponen bagi memastikan strategi terbaik dapat dirangka untuk meraih kemenangan.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, PN kini berada dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya dengan jentera di semua peringkat sedang diperkukuhkan.
Dalam masa sama, katanya, ketua-ketua bahagian Bersatu telah diminta mengemukakan nama calon yang layak untuk dipertimbangkan.
Jelasnya, pemilihan calon akan dibuat berdasarkan beberapa kriteria termasuk keperibadian dan integriti yang baik, rekod kerja cemerlang, pengalaman serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat.
“Semua orang boleh menawarkan diri untuk bertanding, tetapi kita mahukan tokoh yang mempunyai keperibadian dan pekerja yang baik, mempunyai pengalaman serta dekat dengan penduduk,” katanya.
Mahiaddin berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Bersatu Melaka di Klebang, malam tadi.
Beliau turut memaklumkan, PN akan meneruskan rundingan dengan parti lain yang berminat bekerjasama menjelang PRN Melaka, dengan sebarang pembahagian kerusi diputuskan menerusi rundingan bersama.
Pada masa ini, PN mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka iaitu Sungai Udang dan Bemban.
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021, BN memenangi 21 kerusi manakala PH menguasai lima kerusi DUN.
BACA JUGA Tiada harapan lagi kerjasama harmoni, Pas bayang putus dengan Bersatu