Pecah rekod, RM1 sudah dapat 4,500 rupiah Indonesia

Nilai rupiah Indonesia terus melemah berbanding ringgit dengan hari ini dilihat bersamaan kira-kira Rp4,500.

Kelemahan nilai rupiah Indonesia berbanding ringgit itu turut dikongsikan warganegaranya yang melanjutkan pengajian di Malaysia.

TikToker, anatasyacarolineee berkata, ekoran itu, Rp20,000 di Malaysia hanya dapat membeli mi segera cawan sahaja.

“Sekarang kita lihat dengan 20,000 Rupiah ini, kita boleh beli apa di pasaraya di Malaysia.

“20,000 Rupiah ini bersamaan dengan RM4.47, tidak sampai lima ringgit,” katanya.

Beliau kemudiannya membandingkan harga beberapa barangan di rak sebuah pasaraya.

“Detergen sudah aku lihat tidak ada yang harganya RM4.

“Telur paling murah boleh dapat RM6.10. Susu kotak besar yang biasa aku beli RM8.29 iaitu sekitar 40,000 rupiah.

Wanita muda berkenaan seterusnya ke rak mi segera dan menunjukkan harga Mi Sedaap yang mencecah RM5.90 manakala jenama Indo Mie berharga RM5.89.

“Tak dapat 20,000 rupiah,” ujarnya lagi.

@anatasyacarolineee

😱REKOR sekarang RM 1= Rp 4.500, Rp20.000 di Malaysia cuma buat beli mie cup aja 😭😭 #fypシ #rupiahindonesia #ringgitmalaysia #economy #currency

♬ [Nocturne No. 2] Piano Chopin(155315) – racoa_production

Mengulas prestasi rupiah Indonesia berbanding ringgit, pakar ekonomi berpendapat keadaan berlaku kerana ekonomi Indonesia mencatatkan defisit berkembar iaitu defisit fiskal dan defisit dalam imbangan akaun semasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, dilapor berkata, situasi itu diburukkan lagi dengan keperluan untuk mengimport bahan api.

Jelasnya, situasi itu berbeza dengan ekonomi Malaysia yang mencatatkan lebihan dagangan akuan semasa tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2026 berbanding 0.5 peratus pada suku keempat 2025.

Dalam masa sama, katanya, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) terus berada dalam keadaan yang selesa iaitu AS$129.5 bilion setakat 15 Mei 2026 berbanding AS$125.5 bilion setakat 31 Disember 2025.

Tambahnya, nilai ringgit mengukuh dipacu asas ekonomi serta prospek pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing dan dibantu dengan dasar yang mesra pelabur dan perniagaan.

BACA JUGA Marina ucap selamat tinggal pada politik, Nie Ching dedah DAP sebenarnya ada misi lebih besar untuknya