68 tahun TUDM mengawal langit negara: Dari ancaman komunis hingga kini

Ketika dunia berdepan landskap keselamatan yang semakin kompleks dan tidak menentu, peranan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai benteng utama pertahanan negara terus menjadi nadi kepada kedaulatan Malaysia.

Sempena Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 yang disambut hari ini, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TUDM atas jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan ruang udara negara sentiasa berada dalam keadaan selamat serta terkawal.

Bertemakan “Kuasa Udara, Perisai Negara”, sambutan tahun ini memberi pengiktirafan kepada peranan strategik TUDM yang selama hampir tujuh dekad menjadi antara komponen terpenting Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam perutusannya, Adly berkata, seluruh warga TUDM telah membuktikan komitmen luar biasa dalam melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengira cabaran dan ancaman yang dihadapi.

“Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia Ke-68 kepada seluruh warga TUDM yang sentiasa teguh menggalas amanah menjaga kedaulatan ruang udara negara.

“Dengan tema ‘Kuasa Udara, Perisai Negara’, semoga TUDM terus cemerlang sebagai aset strategik pertahanan negara dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Ditubuhkan pada 2 Jun 1958 sebagai Tentera Udara Persekutuan Tanah Melayu sebelum menerima gelaran Diraja pada tahun 1960, TUDM berkembang daripada sebuah pasukan kecil kepada angkatan udara moden yang disegani di rantau ini.

Sepanjang sejarahnya, TUDM memainkan peranan penting dalam menghadapi ancaman komunis, menjaga keselamatan semasa Konfrontasi Indonesia-Malaysia, mengawal ruang udara negara serta menyokong pelbagai operasi kemanusiaan dan bantuan bencana.

Hari ini, peranan TUDM bukan sekadar mempertahankan ruang udara negara, malah merangkumi pemantauan keselamatan maritim, operasi pengawasan strategik, bantuan kemanusiaan serta kerjasama pertahanan serantau dan antarabangsa.

Dalam pada itu, warga Kementerian Pertahanan turut merakamkan penghargaan kepada seluruh anggota dan veteran TUDM yang telah mencurahkan bakti kepada negara sejak penubuhannya.

Menurut kementerian itu, jasa dan pengorbanan warga TUDM menjadi asas kepada kekuatan pertahanan negara yang dinikmati rakyat hari ini.

“Selama 68 tahun, Tentera Udara Diraja Malaysia telah menjadi antara tunjang utama pertahanan negara, melindungi ruang udara Malaysia serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Warga Kementerian Pertahanan menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TUDM, sama ada yang sedang berkhidmat mahupun para veteran, atas jasa, pengorbanan dan komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi dalam menjunjung amanah negara,” menurut kenyataan itu.

Dalam era peperangan moden yang semakin dipengaruhi teknologi tanpa pemandu, kecerdasan buatan dan ancaman siber, keupayaan kuasa udara menjadi semakin kritikal kepada sesebuah negara.

Justeru, pemodenan aset dan peningkatan kesiapsiagaan anggota TUDM terus menjadi agenda penting kerajaan bagi memastikan Malaysia memiliki keupayaan pertahanan yang relevan dengan cabaran semasa.

Selepas 68 tahun berbakti kepada negara, TUDM bukan sekadar sebuah cabang ketenteraan, tetapi simbol kesiapsiagaan, profesionalisme dan pengorbanan yang menjadi perisai kepada keamanan negara.

Ketika rakyat menikmati keamanan di bumi bertuah ini, di ruang udara negara sentiasa ada anggota TUDM yang berjaga, memastikan Jalur Gemilang terus berkibar dengan penuh kedaulatan.

Selamat Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68. Kuasa Udara, Perisai Negara.

BACA JUGA RM53 juta masa Warisan, RM1.5 bilion era Anwar: Jadi siapa berjaya tuntut hak Sabah?