Jangan jadikan isu sensitif sebagai senjata politik – Agong 

Ketika suhu politik negara semakin meningkat menjelang musim pilihan raya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengingatkan ahli politik supaya menjaga adab dan tutur kata serta tidak menjadikan isu sensitif sebagai senjata politik.

Seri Paduka Baginda bertitah, pemimpin politik perlu mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat, khususnya yang melibatkan institusi diraja, agama dan kaum.

“Akhir-akhir ini, bahang pilihan raya telah mula terasa dan orang politik telah mula mengatur langkah untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama kerana ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat,” titah Baginda.

Titah itu disampaikan sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Dalam titah yang sama, Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berleluasa, khususnya menerusi penghasilan kandungan palsu atau deepfake.

Menurut Baginda, perkembangan teknologi itu telah merumitkan lagi keadaan apabila gambar, video dan suara tiruan digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu serta mengelirukan masyarakat.

“Kebebasan bersuara di media sosial bukan medan untuk menabur fitnah dan kebencian dalam kalangan rakyat,” titah Baginda.

Sehubungan itu, Baginda menyeru pihak berkuasa supaya mempertingkatkan pemantauan dan mengambil tindakan tegas bagi membendung penyebaran berita palsu serta kandungan yang boleh mengancam perpaduan negara.

Titah tersebut hadir ketika landskap politik negara mula memperlihatkan persiapan awal menjelang beberapa pilihan raya yang dijangka berlangsung dalam tempoh terdekat, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Peringatan Sultan Ibrahim itu dilihat sebagai mesej jelas agar semua pihak mengutamakan kematangan politik dan mengelakkan eksploitasi isu-isu sensitif yang boleh menjejaskan kestabilan serta keharmonian masyarakat majmuk negara.

BACA JUGA Dari guru Cina ke polis Melayu: Malaysia sepatutnya dibina atas kisah-kisah seperti ini