Bayangkan kalau PMX berada di situ, ramai ‘terkejut’ lihat Pas masuk gereja
Bayangkan kecaman dan serangan yang muncul jika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan majlis silaturrahim bersama komuniti gereja.
Tentu juga berbakul makian dan kutukan menghujani lantaran kunjungan ke gereja itu pula berlangsung pada 13 Zulhijah iaitu antara empat bulan haram ketika umat Islam baharu sahaja menyambut Aidiladha.
Itu antara persoalan dibangkitkan netizen yang ‘terkejut’ melihatkan penampilan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkunjung ke Gereja St Micheal Alor Star, kelmarin.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Nik Abduh berkata, program bersama Lajnah Dakwah Pas Pusat itu bertemu dengan Paderi Rev.Fr.Dato Micheal Cheah di dewan besar bersebelahan gereja tersebut.
Menurutnya, program itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Ustaz Shahril Long dan pengerusi gereja, Dr Edwin Jude.

“Majlis yang dihadiri sekitar 60 orang itu adalah dengan matlamat membina dan mengukuhkan lagi jaringan persefahaman, kasih mesra dan keharmonian hidup di dalam negara kita yang berlatarkan kemajmukan bangsa, agama dan budaya.
“Majlis yang menemukan kami antara penganut Islam dan penganut Kristian ini amatlah bermakna terutama di dalam meluaskan kefahaman bersama mengenai matlamat perjuangan Pas di dalam politik Islamnya,” katanya.

Malah, Nik Abduh yang pernah mewakili Parlimen Pasir Mas dan Bachok berkata, Lajnah Dakwah Pas Pusat akan terus maju dengan program dan majlis pertemuan seumpama itu.
Jelasnya, program itu “mengukuhkan lagi jaringan persahabatan, persaudaraan dan keharmonian antara masyarakat dalam negara tercinta ini.”
Namun, menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menempelak dan menyindir Pas yang disifatkan sebagai ‘halal’ bagi parti itu tetapi jatuh ‘haram’ jika dilakukan pemimpin parti lain.
“Halal bagiku, haram bagimu… begitulah.
“Kalau PMX ni, satu alam bagai nak hancur kena maki dengan walaun.
“Jika parti lain yang buat, habis dah dikafirkan oleh penunggang agama Pas.
“Kalau parti lain yang buat, melalak dah liberal, tak pun Islam terancam, orang Melayu kena Bersatu, kerajaan ikut telunjuk DAP.
“Tanda pilihan raya dekat sangat dah. Kenalah ambil hati pengundi bukan Melayu,” demikian antara reaksi sinis warganet.
BACA JUGA PH Johor sudah jangka BN bubar DUN, sedia hadapi PRN