RTS hingga RM110 bilion bukit MADANI berjaya kembalikan keyakinan pelabur asing di Johor

 Kejayaan Johor muncul sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi negara dengan nilai melebihi RM110 bilion bukan berlaku secara kebetulan, kata Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Danish Hairudin.

Menurut beliau, pencapaian itu lahir daripada kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya mewujudkan keyakinan pelabur serta mempercepat pelaksanaan pelbagai projek strategik.

Katanya, antara hasil paling ketara yang dapat dilihat rakyat hari ini ialah kemajuan projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura (RTS), pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kemasukan pelaburan berteknologi tinggi serta pembangunan pusat data bertaraf dunia.

“Jika bukan kerana sokongan dan komitmen Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, mustahil Johor mampu muncul sebagai negeri yang merekodkan pelaburan tertinggi di Malaysia.

“Rakyat Johor kini menikmati limpahan manfaat daripada pelaburan yang diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya dalam satu kenyataan.

Danish berkata, pelabur antarabangsa tidak hanya melihat kepada kedudukan geografi Johor semata-mata, sebaliknya turut menilai faktor kestabilan politik, dasar ekonomi yang konsisten dan keupayaan kerajaan melaksanakan reformasi yang meyakinkan.

Menurut beliau, kerajaan MADANI berjaya mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia selepas beberapa tahun negara berdepan ketidaktentuan politik.

Katanya, hasilnya dapat dilihat apabila Johor muncul sebagai antara destinasi pelaburan paling rancak di rantau ini, khususnya dalam sektor teknologi, logistik, pusat data dan industri bernilai tinggi.

Mengulas mengenai JS-SEZ, Danish berkata inisiatif bersejarah itu tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa hubungan baik dan kerjasama erat antara Putrajaya dan Singapura.

“JS-SEZ bakal menjadi pemangkin baharu kepada ekonomi Johor dan Malaysia. Ia membuka ruang kepada kemasukan pelaburan berkualiti tinggi, pemindahan teknologi serta peluang pekerjaan yang lebih baik kepada rakyat.

“Ini bukan projek kecil. Ia merupakan antara inisiatif ekonomi terbesar yang bakal mengubah landskap pembangunan Johor dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut menyifatkan RTS sebagai simbol kejayaan kerjasama antara kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menyelesaikan masalah rakyat yang berlarutan sejak sekian lama.

Menurutnya, projek itu bakal mengurangkan kesesakan di Tambak Johor selain memperkukuh hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura.

Danish berkata, kejayaan Johor hari ini juga tidak dapat dipisahkan daripada pelbagai bantuan dan sokongan Kerajaan Persekutuan dalam aspek pembangunan infrastruktur, logistik, pengangkutan serta usaha menarik pelaburan asing.

“Johor tidak menjadi negeri pelaburan nombor satu Malaysia secara kebetulan.

“Johor tidak menerima limpahan pelaburan berbilion ringgit secara kebetulan.

“Semua ini berlaku kerana Johor hari ini mendapat manfaat daripada sebuah Kerajaan Persekutuan yang stabil, mesra pelaburan dan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata rakyat Johor kini berpeluang melihat sendiri bagaimana kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan mampu menghasilkan manfaat yang nyata kepada kehidupan seharian mereka.

Katanya, pembangunan pesat yang sedang berlaku membuktikan bahawa kestabilan politik dan kerjasama antara semua pihak merupakan faktor penting dalam memastikan negeri itu terus berkembang sebagai hab ekonomi utama negara.

“Daripada RTS hingga pelaburan melebihi RM110 bilion, rakyat Johor kini sedang menyaksikan hasil sebenar sebuah kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

“Ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal masa depan Johor dan peluang yang bakal dinikmati generasi akan datang,” katanya.

BACA JUGA Padah berlumba hingga 4 nyawa melayang, polis reman remaja pandu Mercedes Benz