‘Dapat kurniaan Allah tapi kenapa nak kufur nikmat?’, Mufti tegur majlis tema hantu di Kelantan

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sambutan hari jadi bertemakan bunian dan berpakaian menyerupai hantu disifatkan sebagai satu bentuk kufur nikmat kerana tidak meletakkan nikmat kurniaan Allah SWT pada tempat yang sepatutnya.

Beliau menegaskan bahawa setiap kelahiran anak merupakan kurniaan ALLAH yang perlu disyukuri mengikut tuntutan agama Islam.

Menurutnya, konsep mensyukuri nikmat ialah meletakkan sesuatu nikmat yang dikurniakan ALLAH pada tempat yang betul dan selaras dengan syariat.

“Kita kena balik kepada asal, iaitu siapa yang menjadikan kita.

“Tentulah kita ini dijadikan oleh Allah SWT. Kita ini kepunyaan Allah dan kepada-Nya kita kembali.

“Jadi, bila lahir sahaja anak, ini adalah kurniaan Allah yang perlu disyukuri.

“Mensyukuri nikmat Allah ialah meletakkan sesuatu nikmat itu kena pada tempatnya,” katanya, dipetik Sinar Harian.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman sambutan hari lahir bertemakan perkampungan bunian dengan hadirin berpakaian putih selain kelibat menyerupai hantu seperti pocong sehingga mengundang kecaman orang ramai.

Majlis sambutan hari lahir anak seorang ‘founder’ di Kelantan dikenali sebagai Cikna itu dikatakan menelan kos setengah juta ringgit.

Dalam majlis yang dikatakan dihadiri lebih 700 orang itu, anak Cikna dihadiahkan RM100,000 tunai untuk membeli Pop Mart.

@farhanazahra91_

Alhamdulillah semua tetamu mengikut tema berbaju putih , 700++ orang tetamu hadir , hantu yang hadir cuma 10 orang sebab bertugas dalam rumah hantu 🤍 #farhanazahra91 #cikna

♬ original sound – Farhana Zahra – Farhana Zahra

Mengulas lanjut, Shukri berkata, jika seseorang ingin meraikan kelahiran atau hari jadi anak, ia seharusnya dilakukan dengan cara yang dibenarkan oleh agama seperti mengadakan majlis kesyukuran, solat hajat, jamuan makan atau amalan lain yang selaras dengan tuntutan syariat.

“Kalau kita nak mensyukuri kerana dapat anak, buatlah dengan tepat. Kita ada tahlil, cukur rambut dan sambutan secara Islamik.

“Jangan pula kita dapat kurniaan Allah tetapi kita lakukan perkara-perkara yang tidak disukai agama.

“Maka itu dipanggil kufur nikmat. Kenapa pula kita nak kufur nikmat sedangkan kita sepatutnya mensyukuri nikmat?” katanya.

Menurut beliau, tema yang mengandungi unsur pengagungan terhadap hantu dan perkara yang bercanggah dengan agama tidak wajar dijadikan sebahagian daripada sambutan.

“Kita buat tema hantu dan sebagainya, itu orang panggil kufur nikmat kerana kita meletakkan nikmat yang Tuhan bagi itu tidak kena pada tempatnya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan Islam tidak melarang tema-tema tertentu selagi tidak bertentangan dengan kehendak agama.

“Boleh, tema-tema sahaja. Apa tema pun boleh, tetapi tema yang tidak berlawanan dengan kehendak agama.

“Kalau kita duduk beri pemujaan kepada hantu dan sebagainya, itu berlawanan dengan agama. Suka-suka, kena suka-suka yang disukai agama dan dibenarkan oleh agama,” katanya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa sambutan kelahiran patut menjadi medium untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan, bukannya melakukan perkara yang bercanggah dengan tuntutan agama.

BACA JUGA Pas kuat di Pantai Barat, mengukuh di Sabah dan Sarawak? Sembang Nik Abduh cetus reaksi sinis