Fokus turunkan pengundi, ini formula terbaik PH tawan Johor

Pakatan Harapan (PH) berpeluang mencipta kejayaan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika seluruh jentera parti memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.

Pemerhati politik Norman Radzuan berkata, strategi paling berkesan ketika ini bukanlah menyerang atau menghentam Umno.

Sebaliknya, kata beliau, memperkukuh kempen mengajak rakyat Johor keluar mengundi serta menyebarkan pencapaian kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Norman berkata, tidak semua pemimpin dan ahli Umno bersetuju dengan keputusan politik yang dibuat Umno Johor.

Justeru, jelasnya, kempen yang terlalu agresif terhadap parti itu hanya akan memberi kesan negatif kepada PH.

“Tidak perlu menghentam Umno kerana bukan keseluruhan Umno bersetuju dengan keputusan Umno Johor.

“Fokus utama ialah memperhebat kempen turun mengundi setiap hari, siang dan malam melibatkan semua kaum di Johor,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Keluar mengundi

Beliau berpandangan PH perlu menyasarkan kadar keluar mengundi antara 70 hingga 75 peratus bagi meningkatkan peluang kemenangan gabungan itu.

Pada masa sama, katanya, seluruh ahli dan penyokong PH daripada PKR, DAP dan AMANAH perlu memainkan peranan aktif memperluaskan penyebaran kandungan yang menjelaskan kejayaan Kerajaan MADANI serta menonjolkan PH sebagai harapan kepada semua lapisan masyarakat.

“Setiap ahli PH wajib memperkuatkan penyebaran kandungan yang membuktikan PH adalah harapan semua bangsa Johor,” katanya.

Dalam masa sama, Norman turut mengingatkan agar kempen pilihan raya tidak dicemari dengan sentimen perkauman atau tuduhan melampau terhadap pihak lawan.

Sebaliknya, beliau berkata PH perlu mengekalkan imej sebagai gabungan yang mengamalkan politik matang, berasaskan fakta dan kekuatan intelektual.

“Tidak perlu mengkafirkan sesiapa atau memainkan sentimen perkauman.

“Cukup kempen turun mengundi dan sebarkan segala kejayaan kerajaan pimpinan PMX,” katanya.

Beliau turut menggesa penyokong PH menggunakan kreativiti masing-masing di media sosial bagi menjayakan kempen “Ayuh Bangsa Johor Turun Mengundi” menjelang hari pengundian.

Tambahnya, jika seluruh jentera dan penyokong PH di Johor mampu mengekalkan disiplin tersebut, peluang untuk mencapai kemenangan tidak mustahil dapat direalisasikan.

BACA JUGA Bimbang Bersatu jejas PN, ulama Pas serah pada Pusat bertindak