Lebih 1,000 aduan diterima KKM, siapa sebenarnya buat rawatan tanpa lesen ini?
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan terdapat lebih 1,020 aduan diterima berhubung perkhidmatan jagaan kesihatan yang beroperasi di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen, sejak 2021 hingga kini dengan jumlah aduan menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Setakat ini, sebanyak 70 kes sedang atau telah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah.
“Peningkatan aduan ini mencerminkan kebimbangan orang awam terhadap isu berkenaan serta kekhuatiran mengenai kelayakan individu yang menyediakan perkhidmatan tersebut,” menurut KKM dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, KKM akan mempertingkat dan memperhebatkan penguatkuasaan terhadap premis tanpa pendaftaran atau lesen sah terbabit mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
KKM juga telah melaksanakan 320 serbuan ke atas premis yang disyaki beroperasi tanpa pendaftaran atau lesen sah.
Daripada jumlah itu, sebanyak 126 kertas siasatan dibuka manakala 194 kes dikenakan tindakan amaran dan teguran.
KKM menegaskan bahawa aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta 586 akan diteruskan secara berterusan menerusi pendekatan pemantauan, siasatan termasuk pengintipan berasaskan aduan serta tindakan penguatkuasaan berfokus.
Selain itu, kementerian berkenaan turut memperkukuhkan koordinasi operasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
Dalam masa sama, KKM mengingatkan bahawa sebarang penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan hanya boleh dijalankan di premis yang berdaftar atau berlesen di bawah Akta 586.
BACA JUGA Bimbang Bersatu jejas PN, ulama Pas serah pada Pusat bertindak