Penguatkuasaan CPC, RMC penting cegah ancaman siber terhadap kanak-kanak

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menyambut baik pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun lalu.

Menurut beliau, cabaran terbesar yang dihadapi ibu bapa pada masa kini bukan lagi sekadar memantau anak-anak di luar rumah, tetapi memastikan keselamatan mereka dalam dunia digital.

Ini kerana kanak-kanak terdedah kepada pelbagai bahaya antaranya buli siber, penipuan, kandungan yang tidak senonoh, sehinggalah kepada ancaman pemangsa seksual

“Langkah mengetatkan perlindungan, termasuklah mekanisma pengesahan umur untuk anak-anak bawah 16 tahun, adalah satu keutamaan yang mendesak demi keselamatan anak-anak dan keluarga kita.

“Kita sedia maklum gajet dan internet itu penting untuk masa depan dan pembelajaran mereka, tetapi apa yang kita mahukan adalah sebuah ruang digital yang selamat, bersih, dan sesuai dengan umur mereka. Kita mahu anak-anak meneroka internet tanpa rasa bimbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Young Syefura turut menegaskan bahawa penyediaan internet yang selamat untuk kanak-kanak bukan tanggungjawab ibu bapa semata-mata. 

Beliau berpendapat, ibu bapa tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian dan penyedia platform media sosial perlu mengambil tanggungjawab penuh dengan meletakkan keselamatan kanak-kanak sebagai keutamaan mengatasi keuntungan.

“Melindungi anak-anak kita dalam talian memerlukan satu pasukan yang besar, ia menuntut kerjasama erat daripada pihak kerajaan, platform digital, pihak sekolah, komuniti setempat, dan pastinya institusi kekeluargaan kita sendiri,” ujarnya.

BACA JUGA PRN Johor: Senarai calon DAP jadi bualan, rupanya sah palsu