Rakyat Indonesia kongsi kenapa mereka suka sambung belajar di universiti Malaysia
Sebuah laman TikTok pendidikan dari Indonesia, EDU Kuliah ke Luar Negeri, banyak mengetengahkan universiti-universiti awam dan swasta di Malaysia termasuk kelebihannya untuk rakyat indonesia yang mahu sambung belajar.
Menerusi satu video yang dimuat naik di platform itu, laman berkenaan berkongsi kenapa Malaysia antara destinasi pendidikan tinggi yang semakin mendapat perhatian pelajar antarabangsa.
Salah satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan ranking universiti Malaysia ialah kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, dengan 97 peratus graduan berjaya memasuki alam pekerjaan.
Laman itu menyifatkan graduan institusi pengajian tinggi Malaysia sebagai bukan sahaja memiliki tahap akademik yang baik, malah mendapat perhatian dan kepercayaan industri.
Malaysia juga dipuji kerana menawarkan persekitaran pembelajaran antarabangsa yang kondusif dengan kehadiran pelajar dari kira-kira 80 negara di seluruh dunia.
Ia sekali gus membuka peluang kepada pelajar untuk membina rangkaian hubungan global yang luas.
“Pelajar dari Indonesia mempunyai peluang besar untuk membina jaringan antarabangsa yang boleh membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan,” menurut kandungan video berkenaan.
EDU Kuliah ke Luar Negeri turut memuji kurikulum institusi pengajian tinggi di Malaysia yang disifatkan sentiasa dikemas kini mengikut keperluan semasa industri.
Antara bidang pengajian yang diketengahkan termasuk sains data, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, mikrobiologi dan biologi molekul, yang dilihat selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran pekerjaan global.
Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini terus menjadi antara destinasi utama pelajar antarabangsa di rantau Asia Tenggara, khususnya dari Indonesia, susulan kos pendidikan yang kompetitif serta sistem pendidikan yang diiktiraf.
BACA JUGA Pemuda Pas Perlis berkeras dakwa Bersatu memang terlibat usaha jatuhkan MB