Bersama berpotensi ganggu politik berbanding ubah landskap negara, kata Tian Chua

Parti Bersama yang diterajui Rafizi Ramli berkemungkinan memberi kesan mengganggu kepada politik negara, namun sukar untuk mengubah landskap politik Malaysia secara mendasar dalam masa terdekat, menurut Tian Chua.

Dalam analisis terbaharunya, Tian Chua berkata pembinaan sebuah parti nasional yang benar-benar berdaya saing memerlukan lebih daripada sekadar kepimpinan yang karismatik dan pengaruh media sosial.

Sebaliknya, katanya, sesebuah parti memerlukan rangkaian akar umbi yang kukuh, disiplin organisasi, sumber kewangan, jentera pilihan raya dan kerja politik yang konsisten dalam tempoh yang panjang.

“Buat masa ini, Parti Bersama kelihatan masih berada dalam zon selesa sebagai pengkritik yang berani. Ia belum meletakkan dirinya sebagai agen perubahan struktur,” katanya.

Menurut beliau, kesan paling ketara yang mungkin dibawa oleh Parti Bersama ialah memecahkan undi blok reformasi, khususnya di kawasan-kawasan marginal yang sering menjadi penentu kemenangan pilihan raya.

Beliau mengingatkan bahawa sejarah politik Malaysia menunjukkan banyak parti serpihan ditubuhkan atas nama memperkukuh agenda reformasi, namun akhirnya membantu pihak yang cuba mereka tentang.

Tian Chua turut menegaskan bahawa sistem pilihan raya negara yang berasaskan prinsip “first-past-the-post” lebih menggalakkan kerjasama politik berbanding persaingan sesama parti pembangkang.

Katanya, tanpa strategi pembinaan gabungan yang jelas dan meyakinkan, Parti Bersama berisiko menjadi sekadar saluran untuk meluahkan rasa tidak puas hati rakyat tanpa kemampuan menterjemahkannya kepada kuasa politik sebenar.

“Reformasi tidak dicapai hanya dengan mengenal pasti masalah. Ia memerlukan usaha membina kesedaran, mencapai konsensus, mengumpulkan kekuatan dan membentuk majoriti,” katanya.

Beliau menambah, sesebuah parti mungkin mempunyai idea yang baik, namun tanpa kemampuan menyatukan rakyat di belakang idea tersebut, ia akan kekal sebagai aspirasi dan bukannya perubahan yang nyata.

BACA JUGA Dakwa PMX gagal sebab harga minyak, Caprice bagi soalan perangkap dekat Armada