PNK ke-92 ditubuhkan, dekatkan kebajikan nelayan dengan komuniti setempat
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meluluskan penubuhan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kalabakan bagi memperkukuh pengurusan kebajikan serta pembangunan ekonomi nelayan di kawasan berkenaan yang sebelum ini berada di bawah pentadbiran PNK Tawau.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, PNK Kalabakan merupakan persatuan nelayan kawasan ke-92 di negara ini dan yang ke-17 daripada 18 PNK di Sabah.
Menurutnya, penubuhan persatuan baharu itu mengambil kira faktor geografi serta keperluan untuk memastikan kebajikan dan kepentingan nelayan di Kalabakan dapat diuruskan dengan lebih berkesan.
“PNK Kalabakan adalah pecahan daripada PNK Tawau. Sebelum ini nelayan yang tinggal dan beroperasi di kawasan Kalabakan berdaftar di bawah PNK Tawau.

“Keanggotaan awal PNK Kalabakan melibatkan 146 nelayan tulen yang terlibat secara langsung dalam aktiviti penangkapan ikan marin meliputi kawasan dari Merotai hingga Felda Umas,” katanya ketika merasmikan penubuhan persatuan itu.
Dalam program tersebut, beliau turut menyerahkan bakul makanan kepada 146 nelayan yang hadir sebagai ahli awal PNK Kalabakan.
Muhammad Faiz berkata, Sabah kini mempunyai 18 PNK dengan jumlah keahlian seramai 11,202 nelayan berdaftar.
Jelasnya, aktiviti perikanan di kawasan Tawau termasuk Kalabakan juga sangat aktif dengan jumlah vesel yang beroperasi mencecah 3,403 buah.
Katanya, nelayan di Kalabakan turut menerima pelbagai bantuan dan insentif kerajaan termasuk Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM300 sebulan yang dinikmati oleh 96 penerima.
Subsidi
Selain itu, Faiz memaklumkan bahawa seramai 125 pemilik sampan Zon A menerima subsidi petrol manakala 59 vesel Zon B dan sebuah vesel Zon C menerima subsidi diesel.
“Bagi Projek Khas Perumahan Nelayan tahun 2026, sebanyak lapan rumah dipilih untuk kerja baik pulih melibatkan peruntukan RM160,000.
“Seramai 27 nelayan turut menerima bantuan pukat, tong ikan berinsulasi dan jaket keselamatan dengan peruntukan RM27,000 menerusi Insentif Peralatan Penangkapan Ikan Nelayan (Touchpoint) B40,” katanya.
Beliau menambah sebagai persatuan baharu, PNK Kalabakan perlu memberi tumpuan kepada pembangunan perniagaan berasaskan perikanan selaras dengan agenda 1 Persatuan 1 Produk (1P1P) bagi menjana pendapatan dan memperkukuh kedudukan kewangan persatuan.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi membolehkan keuntungan disalurkan semula kepada ahli dalam bentuk dividen serta bantuan kebajikan.
Pada masa sama, Faiz menggesa penglibatan lebih ramai golongan muda, wanita nelayan dan pemain industri swasta dalam pentadbiran persatuan bagi mewujudkan kepimpinan yang lebih seimbang dan inklusif.
Menurutnya, PNK Kalabakan telah menyatakan hasrat untuk meneroka pelbagai projek ekonomi termasuk pemasaran ikan dan akuakultur selaras dengan halatuju 4P LKIM iaitu Pulih, Progresif, Perkasa dan Pintar.
Faiz berkata, LKIM memberi perhatian khusus kepada pembangunan sektor perikanan di Sabah memandangkan negeri itu merekodkan jumlah pendaratan ikan kedua tertinggi di Malaysia pada 2025 dengan sebanyak 108,181 metrik tan.
“Pencapaian ini membuktikan kekuatan Sabah dalam memperkukuh subsektor perikanan sebagai sektor ekonomi agro makanan yang penting serta menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.
“Malah, aktiviti penangkapan ikan yang kukuh di Sabah turut membantu kadar Sara Diri (SSR) ikan negara mencapai 90 peratus,” kata beliau lagi.
Sementara itu, Faiz turut merasmikan penubuhan PNK Sepanggar semalam yang merupakan PNK ke-93 dalam negara.