Tuanku Muhriz perkenan bubar DUN Negeri Sembilan hari ini
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam sidang media khas di kediamannya di Seremban, jam 11 malam tadi.
Aminuddin berkata, pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Tuanku Muhriz pada majlis menghadap yang berlangsung jam 8.30 malam tadi.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan berkenaan berkata, beliau mematuhi Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bagi pembubaran DUN berkenaan.
“Saya telah ikut undang-undang tubuh kerajaan negeri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.
Ahli Parlimen Port Dickson tersebut juga yakin pembubaran DUN itu dapat menamatkan kemelut politik dan kepemimpinan yang berlaku.
“Mula-mula dia tarik dan kemudian sekejap dia sokong dan kemudian tak sokong.
“Jadi, sekarang kita serahkan mandat semula kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya akan menghantar notis pembubaran itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pihak berkenaan menetapkan tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi.
“Berhubung kehadiran Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menghadap Tuanku petang tadi, ia kerana Tuanku inginkan persetujuan atau pengesahan berkaitan pembubaran DUN,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Jangan salahkan doktor!, Dr Rafidah dedah hospital kritikal, hanya tiga MO kendali kes O&G