DAP tangguh persidangan, beri laluan PRN Johor, Negeri Sembilan

DAP memutuskan untuk menangguhkan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 bagi memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang dipengerusikan Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook pada malam tadi.

Menurut kenyataan parti itu, Persidangan Kebangsaan DAP yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 12 Julai depan kini ditunda ke 16 Ogos 2026.

CEC DAP turut mengesahkan parti itu akan mempertahankan semua kerusi penyandangnya di Johor dan Negeri Sembilan.

Selain itu, DAP menyasarkan beberapa kerusi tambahan di Johor, tertakluk kepada keputusan rundingan muktamad bersama parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang dijangka dimuktamadkan sebelum hujung minggu ini.

Dalam usaha memperkemaskan persediaan pilihan raya, DAP turut menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Calon yang akan bertanggungjawab menentukan calon-calon parti bagi kedua-dua PRN tersebut.

Jawatankuasa itu akan dianggotai oleh Loke Siew Fook, Gobind Singh Deo, Nga Kor Ming, Teo Nie Ching dan Chong Chieng Jen.

Selain memberi fokus kepada pilihan raya negeri, DAP turut menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang dijadual dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat bermula 22 Jun ini.

Parti komponen PH itu menyifatkan cadangan pindaan tersebut sebagai langkah penting dalam agenda reformasi institusi negara dan berikrar memastikan kesemua 40 Ahli Parlimen DAP menyokong RUU berkenaan ketika undian belah bahagi dijalankan.

Dalam kenyataan sama, DAP turut menyeru semua Ahli Parlimen merentasi parti politik supaya menyokong pindaan Perlembagaan yang disifatkan sebagai bersejarah itu.

“DAP terus komited untuk mendokong agenda reformasi institusi dalam kerajaan dan akan berkempen secara bersungguh-sungguh dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan demi kemenangan PH di kedua-dua negeri tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Dominasi satu parti bukan formula jamin kestabilan politik