KPT, KKM diarah selesai segera isu graduan farmasi Universiti Alexandria

Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempercepatkan penyelesaian isu pengiktirafan graduan program Doktor Farmasi (PharmD) dari Universiti Alexandria, Mesir yang berlarutan sejak sekian lama.

Arahan itu dikeluarkan selepas Pejabat Perdana Menteri menerima dan meneliti aduan yang dikemukakan oleh pelajar-pelajar bidang farmasi universiti berkenaan berhubung status pengiktirafan kelayakan mereka untuk tujuan pendaftaran serta amalan profesional di Malaysia.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perkara tersebut diberikan perhatian serius dan dimuktamadkan dalam kadar segera demi menjaga kepentingan pelajar yang terlibat.

“Perdana Menteri telah mengarahkan KPT dan KKM supaya memberikan perhatian serta memuktamadkan penyelesaian terhadap isu ini dengan kadar segera demi kepentingan pelajar yang terlibat,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa ketika ini Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) tidak mempunyai sebarang halangan terhadap pengiktirafan akademik program berkenaan.

Bagaimanapun, proses pengiktirafan profesional yang membolehkan graduan berdaftar dan beramal sebagai ahli farmasi di Malaysia masih memerlukan pertimbangan serta persetujuan daripada Lembaga Farmasi Malaysia.

Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berkenaan diminta menyelesaikan isu tersebut secara menyeluruh tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan dalam bidang farmasi.

Menurut kenyataan itu lagi, usaha mencari jalan penyelesaian perlu dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada masa depan rakyat.

“Justeru, KPT dan KKM perlu menyelesaikan isu ini secara tuntas selaras dengan gagasan MADANI yang menuntut keadilan, ihsan dan kebijaksanaan dalam setiap keputusan yang menyentuh masa depan rakyat, tanpa menjejaskan standard profesional yang ditetapkan bagi bidang farmasi,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA JUGA PRN lagi? UMNO-BN ulang episod pandemik, rakyat terpaksa bayar ‘bil politik’