Tunku Nadzaruddin dimasyhur Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12

Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 oleh Undang Yang Empat dalam satu majlis di sebuah resort hari ini.

Pertabalan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Dalam pengisytiharan tersebut, Maarof berkata, pemilihan Tunku Nadzaruddin dibuat selaras dengan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenaan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.

“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya.

Sejurus selepas pengisytiharan itu, Tunku Nadzaruddin menzahirkan penghargaan kepada Undang Yang Empat serta pembesar adat yang terlibat dalam pemilihannya.

“Beta menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” titah baginda.

Pemasyhuran itu berlaku ketika pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih belum menemui penyelesaian muktamad dan dijangka menambahkan lagi ketegangan terhadap krisis pertikaian takhta.

Kemelut berkenaan bermula pada April lalu apabila empat Undang mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak yang membuat pengisytiharan tiada kuasa sah sebagai Undang.

BACA JUGA Pejabat Speaker Dewan Rakyat jawab desas-desus tiada sidang Parlimen