AMK soal Umno, nak bina negara atau rebut kuasa?
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Nabil Halimi, mempersoalkan sama ada Umno benar-benar komited mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan atau sekadar menggunakan situasi politik semasa untuk mengatur percaturan kuasa.
Beliau berkata, walaupun bersetuju dengan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa rundingan mengenai Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan masih terbuka, tindakan beberapa pemimpin Umno kebelakangan ini menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan parti itu.
“Persoalannya, sejauh mana Umno benar-benar ikhlas mempertahankan semangat Kerajaan Perpaduan yang telah membawa kestabilan politik dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap negara?” katanya dalam satu hebahan media hari ini.
Menurut Nabil, jika Umno benar-benar mengutamakan kestabilan, parti itu tidak sepatutnya dilihat membuka ruang kepada ketidaktentuan politik ketika Malaysia sedang berdepan cabaran ekonomi dan ketegangan geopolitik global.
Beliau berkata, keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ketika kerajaan negeri masih stabil dan mempunyai majoriti yang kukuh menimbulkan pelbagai persoalan.
“Barisan Nasional memiliki 40 daripada 56 kerusi DUN dan masih mempunyai baki kira-kira setahun sebelum tamat penggal pentadbiran. Namun pilihan untuk membubarkan DUN ketika dunia sedang berdepan krisis tenaga dan ekonomi sudah tentu menimbulkan tanda tanya,” katanya.
Nabil turut menyifatkan hasrat untuk bertanding secara solo sebagai sesuatu yang bercanggah dengan semangat kerjasama dalam Kerajaan Madani, khususnya di Johor yang menurutnya telah berjaya menarik pelaburan asing serta memperkukuh pembangunan melalui Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Mengulas situasi di Negeri Sembilan, beliau mendakwa ketegangan politik yang berlaku berpunca daripada percaturan kuasa oleh sebahagian pemimpin Umno sendiri sehingga mewujudkan ketidakstabilan politik dan memaksa Pakatan Harapan (PH) menyerahkan semula mandat kepada rakyat.
Katanya, negara tidak seharusnya kembali kepada kitaran ketidakstabilan politik akibat perebutan kuasa jangka pendek yang akhirnya memberi kesan kepada rakyat dan ekonomi.
Beliau turut mengimbau pengalaman ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, apabila Umno didakwa memberi tekanan politik walaupun ketika itu wujud persefahaman rentas parti melalui Memorandum Persefahaman (MOU) antara kerajaan dan PH bagi menjamin kestabilan negara pasca COVID-19.
“Kita masih ingat bagaimana tekanan politik ketika itu akhirnya membawa kepada pilihan raya awal, sedangkan negara masih berdepan kesan pandemik COVID-19. Episod pasca Pilihan Raya Negeri Sabah juga memberi impak besar kepada rakyat,” katanya.
Menurut Nabil, PH sejak awal memilih pendekatan kompromi demi memastikan kestabilan politik kerana landskap politik Malaysia hari ini tidak lagi didominasi oleh satu gabungan sahaja.
“Formula kerjasama dan kompromi inilah yang menjadi asas kepada pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 serta berjaya menarik semula keyakinan pelabur luar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan satu persoalan kepada UMNO.
“Soalan saya kepada Umno mudah, mahu terus membina negara secara bersama atau terus mengulangi politik percaturan ketika krisis yang akhirnya mengorbankan rakyat dan ekonomi demi kuasa?” katanya.
BACA JUGA Nak perbaharui lesen? Semua Mall wajib sedia fasiliti kitar semula