Pemuda Pas lulus usul putus hubungan dengan Bersatu, kecam Azmin
Keretakan hubungan antara Pas dan Bersatu dilihat semakin ketara apabila Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Bangi sebulat suara meluluskan usul supaya Pas memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.
Usul tersebut turut menggesa kepimpinan Pas Pusat dan Dewan Pemuda Pas Pusat mengambil pendirian yang sama dengan menamatkan kerjasama politik antara kedua-dua parti.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pemuda Pas Bangi berkata keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh para perwakilan yang menghadiri mesyuarat agung kawasan berkenaan.
“Mesyuarat Agung Dewan Pemuda Pas Kawasan Bangi sebulat suara meluluskan usul memutuskan hubungan politik dengan Bersatu, dan agar Pas Pusat serta Dewan Pemuda PAS Pusat melaksanakan perkara yang sama,” menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, Pemuda Pas Bangi turut mengecam kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang didakwa ditujukan terhadap Presiden Pas ketika pelancaran jentera Bersatu di Melaka.
“Pemuda Pas Bangi sebulat suara mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali terhadap Presiden Pas dalam pelancaran jentera Bersatu di Melaka,” katanya.
Perkembangan itu dilihat menambah lagi ketegangan antara dua parti yang sebelum ini menjadi tunjang kepada Perikatan Nasional (PN).
Kebelakangan ini, hubungan Pas dan Bersatu semakin menjadi perhatian selepas beberapa pemimpin kedua-dua parti saling mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan perbezaan pendirian mengenai hala tuju kerjasama politik mereka.
Usul yang diluluskan di peringkat Pemuda Pas Bangi bagaimanapun belum menjadi pendirian rasmi Pas di peringkat pusat, namun ia dilihat sebagai isyarat jelas wujudnya desakan akar umbi supaya hubungan politik dengan Bersatu dinilai semula.
BACA JUGA Faisal Tehrani dakwa kuasa Ibu Soko tidak boleh diketepikan