Johor lebih cepat maju jika kerajaan negeri dan Persekutuan sehaluan, kata Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan yang sehaluan akan memudahkan pelaksanaan projek pembangunan serta memberi manfaat lebih besar kepada rakyat.
Menurut beliau, soal yang lebih penting bukan sekadar politik pilihan raya, tetapi keupayaan membentuk sebuah pasukan yang mampu bekerja secara berkesan demi kepentingan negara.
“Johor satu aliran dengan Persekutuan banyak faedah. Kita bincang dengan baik, kita bekerja sebagai satu pasukan dan manfaatnya akan dirasai oleh rakyat,” katanya ketika melancarkan jentera Pakatan Harapan di Batu Pahat, Johor.
Anwar berkata kerajaan tetap akan membantu semua negeri tanpa mengira pentadbiran politik, termasuk dalam projek-projek penting seperti tebatan banjir dan pembangunan infrastruktur.
“Kalau Kelantan perlukan projek banjir, Kelantan pun dapat. Kalau Johor perlukan pembangunan, Johor pun dapat. Tetapi apabila kerajaan sehaluan, pelaksanaan menjadi lebih mudah dan lebih cepat untuk rakyat,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI berpegang kepada prinsip keadilan dengan memberi peluang kepada pelajar cemerlang daripada semua kaum tanpa mengabaikan agenda memperkasakan masyarakat Melayu dan Islam.
“Saya orang Melayu dan saya tidak pernah tinggalkan agenda untuk orang Melayu. Program untuk orang Melayu kita teruskan, malah kita tingkatkan. Tetapi kalau anak Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan yang benar-benar cemerlang mendapat 10A, saya tidak sampai hati untuk menafikan peluang mereka,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membina sebuah negara yang bersatu, menghormati kepelbagaian dan pada masa sama mengekalkan kestabilan politik serta ekonomi.
“Kita mesti bekerja bersama, saling menghormati dan membangunkan ekonomi negara. Yang penting ialah rakyat mendapat manfaat daripada kestabilan yang kita bina,” katanya.
BACA JUGAJangan terpedaya politik perkauman, pilih kestabilan demi masa depan negara