‘Selatan Untuk Pakatan’, Saifuddin yakin Johor mampu jadi titik permulaan kemenangan besar PH
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail optimis Johor mampu menjadi titik permulaan kepada satu lagi kejayaan besar gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Johor 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh semangat dan keyakinan.
Menegaskan bahawa “Selatan Untuk Pakatan”, Saifuddin berkata, beliau dapat melihat sendiri kesungguhan serta semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh seluruh jentera parti yang hadir.
“Malam tadi saya bersama pimpinan Pakatan Harapan dalam Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Johor 2026.
“Suasana yang cukup membakar semangat. Saya dapat melihat sendiri kesungguhan, keyakinan dan semangat juang yang tinggi daripada seluruh jentera yang hadir,” katanya menerusi hantaran di media sosial pagi ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri itu, kestabilan politik merupakan faktor penting untuk memastikan negara terus bergerak maju dan mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Beliau berkata, Malaysia kini berada di landasan yang lebih baik apabila ekonomi negara semakin menunjukkan perkembangan positif hasil kestabilan yang dinikmati sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan.
“Selalu saya tekankan, sebuah negara tidak akan dapat bergerak dengan baik jika sentiasa dibelenggu ketidaktentuan politik.
“Hari ini, ekonomi negara semakin menunjukkan perkembangan yang positif dan semakin kukuh,” katanya.
Rekod pencapaian
Sehubungan itu, Saifuddin berkata, medan PRN Johor perlu dijadikan ruang untuk rakyat membuat penilaian berdasarkan fakta, rekod pencapaian serta hala tuju yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding.
Naib Presiden PKR itu berkata, rakyat perlu menilai pihak yang benar-benar bekerja dan berupaya menyelesaikan masalah berbanding terpengaruh dengan retorik politik semata-mata.

“Biarlah rakyat menilai siapa yang bekerja, siapa yang menyelesaikan masalah dan siapa yang benar-benar membawa harapan untuk masa depan negeri ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan seluruh jentera PH supaya menumpukan usaha menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat serta mengelakkan amalan politik kebencian.
“Saya menyeru seluruh jentera supaya terus fokus menyampaikan maklumat yang benar.
“Jangan sesekali terjebak dengan politik kebencian, fitnah atau adu domba. Rakyat hari ini mahukan penyelesaian, bukannya permusuhan,” katanya.
Saifuddin percaya dengan disiplin jentera dan sokongan rakyat, Johor berpotensi menjadi negeri yang mencetuskan momentum kemenangan baharu buat Pakatan Harapan.
BACA JUGA Melimpah, Johor beri petanda baik, PH teruja dengan sambutan