Peluang usahawan PMKS raih bantuan RM205 juta, ini inisiatif baharu majukan bisnes

Program Sokongan Industri dan Perniagaan Rakyat (SINAR) menawarkan bantuan kewangan berjumlah RM205 juta bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengembangkan perniagaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong berkata, program baharu SINAR yang dilancarkan melalui SME Corp Malaysia hari ini menawarkan lima inisiatif baharu bagi memperkasa usahawan PMKS.

“Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tidak boleh membiarkan PMKS berdepan cabaran ini bersendirian.

“Melalui SINAR, kita mahu memastikan usahawan mempunyai akses kepada pembiayaan dan sokongan yang diperlukan untuk terus bertahan, berkembang dan mencipta peluang pekerjaan,” katanya.

Steven Sim berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penutup Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia di Angsana Johor Bahru Mall hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Mengulas lanjut, beliau berkata tiga program pembiayaan ditawarkan dengan jumlah pembiayaan sehingga RM5 juta pada kadar keuntungan atau faedah antara tiga hingga lima peratus setahun.

Ia melalui kerjasama Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), microLEAP PLT dan Funding Societies.

“Selain pembiayaan, Program Penskalaan Perniagaan Inklusif pula merupakan program pembangunan kapasiti yang menyediakan geran sehingga 90 peratus kepada PKS.

“Ini bagi mengintegrasikan komuniti inklusif dalam rantaian bekalan mereka serta membantu perusahaan mikro meningkatkan kemahiran berkaitan bagi transformasi perniagaan ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Sim menambah bagi memudahkan akses kepada inisiatif tersebut, PMKS yang memohon pembiayaan hanya perlu mendapatkan Status PMKS, iaitu pensijilan rasmi yang mengesahkan sesebuah perniagaan memenuhi definisi PMKS.

Katanya lagi, diskaun sebanyak 50 peratus bagi permohonan Status PMKS turut ditawarkan bermula bulan ini hingga 31 Ogos depan.

BACA JUGA Lautan rakyat sambut PMX di Johor, kemarahan terhadap pembubaran DUN terserlah