PH mula kempen Johor dengan ‘menjual’ prestasi, BN mula dengan tanam ketakutan

OLEH AHMAD MURSI

PH mulakan kempen dengan berkongsi hasil kerja kerajaan Madani di Johor termasuk RTS, ETS, ART dan Komuter Selatan.

Onn Hafiz pula mulakan kempen BN dengan mesej: dia rela tidak jadi MB jika bersama DAP.

Jelas sekali ini kempen menilai prestasi dan kompetensi oleh PH, berdepan kempen menanam ketakutan oleh BN.

Politik pilihan raya sepatutnya diguna untuk memilih pemimpin prestasi terbaik memajukan negeri, bukan memilih pemimpin yang paling hebat menabur ketakutan dalam jiwa rakyat.

Jika Onn Hafiz tidak mahu jadi MB bersama DAP, itu hak dia dan boleh diganti dengan yang lebih matang, kompeten dan cukup dewasa.

Bila ahli politik ajar Melayu jadi penakut dan beremosi, mereka patuh tetapi tidak berfikir, setia tetapi tidak berdaya saing, malas belajar tetapi suka menyalahkan orang lain.

Adakah bangsa Johor selesa dengan kempen perkauman? Jika ya, maka eloklah bersedia untuk mundur ke belakang ikut jejak negeri PN-Pas.

Pemimpin Johor sepatutnya menggabungkan seluruh kekuatan yang ada, bukan memecahbelahkan dengan isu perkauman.

Adakah Onn dan BN Johor benci DAP kerana Menteri DAP berusaha percepatkan projek tertangguh RTS Johor Bahru–Singapura untuk selesaikan kesesakan di Tambak Johor?

Adakah benci DAP kerana Menteri DAP memacu projek ETS, landasan berkembar dan Komuter Selatan sehingga ke Johor?

Adakah benci DAP kerana Menteri DAP bersungguh mengusahakan sistem ART atau trem tanpa rel Johor Bahru bernilai berbilion ringgit yang akan bersambung dengan RTS?

Jika itu puncanya, jelas sekali gaya politik BN Johor bukanlah untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

Kerap kali orang Melayu marah apabila negeri mereka tidak dibantu dengan projek besar.

Tetapi masalahnya, orang Melayu sendiri mudah menerima kempen ketakutan dan emosi, bukan kempen membina Melayu bermaruah mengutamakan ilmu, prestasi dan daya saing.

Kempen ‘Melayu Bermaruah’ mengangkat pemimpin politik yang bijak, kompeten dan amanah.

Kempen ‘Melayu Terancam’ mengangkat pemimpin politik yang lemah, korup dan tidak berupaya mentadbir.

BACA JUGA Politik dua wajah Umno: Di Persekutuan cakap pasal politik stabil, di Johor masih bermusuh