Utamakan rakyat bukan politik kebencian, Sheikh Umar persoal keutamaan Onn Hafiz
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali membidas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang lebih rela melepaskan jawatan daripada berada dalam sebuah kerajaan negeri yang melibatkan DAP.
Menurut Sheikh Umar, kenyataan sedemikian memperlihatkan keutamaan politik yang tersasar ketika rakyat berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang memerlukan perhatian serius daripada semua pemimpin.
Beliau berkata, dalam sebuah negara demokrasi yang matang, setiap parti politik sememangnya berhak mempunyai pendirian serta strategi masing-masing.
Namun tegasnya, keutamaan mana-mana pemimpin politik seharusnya tertumpu kepada usaha memastikan rakyat menikmati manfaat daripada pentadbiran yang berkesan, stabil dan berintegriti, bukannya menjadikan perbezaan politik sebagai isu utama.
“Rakyat hari ini berdepan pelbagai cabaran melibatkan kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan, pelaburan dan pembangunan infrastruktur.
“Mereka mengharapkan pemimpin tampil menawarkan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi, bukannya memperbesarkan perbezaan politik yang akhirnya tidak membawa manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Onn Hafiz menegaskan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP jika diberi mandat semula untuk membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 ini.
Berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Onn juga berkata, beliau lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan DAP.
Kestabilan politik
Mengulas lanjut, Sheikh Umar berkata, pengalaman Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan membuktikan bahawa parti-parti yang mempunyai latar belakang berbeza mampu bekerjasama demi menjamin kestabilan politik, memulihkan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Katanya, kerjasama politik tidak bermaksud semua pihak perlu bersetuju dalam setiap perkara, sebaliknya ia mencerminkan kematangan politik untuk meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan parti.
“Kerjasama tersebut menunjukkan bahawa perbezaan ideologi bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Apa yang lebih penting ialah kemampuan mentadbir dengan baik serta kesediaan mencari titik persamaan demi kepentingan negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa DAP dan Pakatan Harapan (PH) Johor sentiasa berpegang kepada prinsip politik yang membina, menghormati mandat rakyat serta menjunjung institusi demokrasi.
Menurutnya, Johor memerlukan politik yang berasaskan dasar, prestasi dan tawaran penyelesaian kepada rakyat, bukannya retorik yang berpotensi merenggangkan ruang kerjasama yang diperlukan untuk pembangunan negeri.
“Perbincangan mengenai masa depan Johor seharusnya tertumpu kepada prestasi pentadbiran, dasar yang ditawarkan dan bagaimana kehidupan rakyat boleh dipertingkatkan.
“Retorik yang menjarakkan ruang kerjasama politik hanya akan mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang perlu diselesaikan,” kata Sheikh Umar lagi.
BACA JUGA PRN Negeri Sembilan: Loke sasar PH menang 20 kerusi