Putus sudah kerjasama politik Pas dengan Bersatu
Keretakan Perikatan Nasional (PN) akhirnya terjawab lewat malam ini apabila Pas secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan mengejutkan tetapi bukan di luar jangkaan itu diputuskan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam ini.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan, berkata parti memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik Pas, atas prinsip penyatuan ummah.
Menurutnya, parti komponen PN tersebut meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat malam ini memutuskan untuk menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu.
Dalam masa sama, Pas membuat ketetapan untuk meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“(Juga) Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat untuk menyertai Pas,” kata Abdul Hadi lagi.
Tekad Mahiaddin
Sikap Pas untuk berpatah arang dengan Bersatu bertentangan dengan tekad Presiden parti bunga raya itu, Tan Sri Mahiaddin Yassin untuk terus memelihara hubungan baik dengan Pas dalam PN.
Dalam kenyataan semalam, Mahiaddin memaklumkan beliau telah menerima surat daripada Setiausaha Agung Pas bertarikh 6 Jun 2026 mengenai hubungan kedua-dua parti itu serta cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan PN.
Susulan itu, Mahiaddin berkata, beliau akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara tersebut ke mesyuarat MPT Bersatu untuk diteliti.
Namun, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menjelaskan, surat berkenaan adalah surat jawapan balas dari Pas terhadap surat yang dihantar Presiden Bersatu sebelum ini.
Afnan melalui satu hantaran di Facebook berkata, isi kandungan surat Bersatu bertarikh 25 Mei 2026 yang diterima adalah respon balas parti tersebut terhadap sidang media oleh Presiden Pas sebelumnya mengenai hubungan Pas-Bersatu.
BACA JUGA JKOM bakal jelajah kampus seluruh negara, Syam Ghaz umum siri dialog bersama Menteri