“Betul ke BN selamatkan PH di Johor?” AMK bentang data tunjuk sebaliknya

Dakwaan bahawa kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram disumbangkan oleh sokongan pengundi Barisan Nasional (BN) dipersoalkan oleh Pengarah Pilihan Raya Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Jalex Lee.

Menurut beliau, analisis keputusan pilihan raya menunjukkan tiada bukti jelas bahawa PH menerima limpahan undi daripada BN dalam kedua-dua PRK tersebut. Sebaliknya, beliau mendakwa data lebih menunjukkan penyokong PH membantu kemenangan calon BN dalam PRK Mahkota.

Beliau berkata sebelum mana-mana pihak mendakwa PH menang hasil bantuan BN, fakta dan angka di peti undi perlu diteliti terlebih dahulu.

Bagi DUN Mahkota, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, BN memperoleh 16,611 undi, manakala PH mendapat 11,445 undi.

Dalam PRK Mahkota 2024, calon BN memperoleh 27,995 undi, sekali gus meningkatkan majoriti kemenangan daripada 5,166 undi kepada 20,648 undi.

Meningkatkan majoriti

Menurut Jalex, peningkatan tersebut menunjukkan jumlah undi BN hampir menyamai gabungan undi BN dan PH pada PRN 2022, sekali gus memberi gambaran bahawa penyokong PH turut memainkan peranan dalam meningkatkan majoriti calon BN.

Bagi DUN Simpang Jeram, PH memperoleh 14,640 undi pada PRN Johor 2022, diikuti BN dengan 6,953 undi dan Perikatan Nasional (PN) sebanyak 2,136 undi.

Dalam PRK Simpang Jeram 2023, PH meraih 13,844 undi, manakala PN memperoleh 10,330 undi, menyebabkan majoriti PH menurun daripada 7,687 undi kepada 3,514 undi.

Beliau mendakwa keputusan itu menunjukkan jumlah undi PH kekal pada tahap hampir sama, manakala undi PN hampir menyamai gabungan undi PN dan BN pada pilihan raya sebelumnya.

Bagi kerusi Parlimen Pulai, PH memperoleh 55,447 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, manakala BN mendapat 26,523 undi dan PN 4,332 undi.

Dalam PRK Pulai 2023, PH memperoleh 48,283 undi, manakala PN meraih 29,642 undi, menyebabkan majoriti PH menurun daripada 28,924 undi kepada 18,641 undi.

Menurut Jalex, angka tersebut menunjukkan undi PH memang berkurangan, namun jumlah undi PN hampir menyamai gabungan undi PN dan BN pada PRU 2022.

“Daripada angka-angka ini, kesimpulannya cukup jelas. Dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram, tidak terdapat bukti bahawa PH memperoleh bantuan BN,” katanya.

Beliau sebaliknya berhujah bahawa keputusan PRK Mahkota lebih menunjukkan pola sokongan daripada penyokong PH kepada calon BN sehingga meningkatkan jumlah undi dan majoriti kemenangan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda Umno supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menurutnya tidak disokong oleh fakta dan analisis angka keputusan pilihan raya.

BACA JUGA JKOM bakal jelajah kampus seluruh negara, Syam Ghaz umum siri dialog bersama Menteri