DBKL bakal ucap selamat tinggal kepada OSC Khas?
Kerajaan MADANI sedang mengambil langkah untuk menamatkan peranan One Stop Centre (OSC) Khas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai sebahagian daripada agenda reformasi tadbir urus dan usaha memperkukuhkan integriti dalam sistem perancangan bandar ibu negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan syor Project Capital, sebuah pasukan petugas khas di bawah Policy Advisory Committee to the Prime Minister (PMAC) yang ditugaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, laporan Project Capital mendapati OSC Khas berpotensi menjadi saluran campur tangan dalam proses membuat keputusan pembangunan.
“Kerajaan MADANI tidak boleh mempertahankan mana-mana struktur yang membuka ruang kepada campur tangan atau persepsi bahawa sesuatu keputusan boleh dipengaruhi oleh faktor selain undang-undang dan dasar perancangan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan prinsip yang perlu dipegang ialah setiap keputusan pembangunan mesti berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur, undang-undang serta proses yang telus.
Hannah berkata sejak beliau diberikan tanggungjawab mengurus Wilayah Persekutuan, satu garis panduan yang jelas telah diwujudkan bagi membolehkan Ahli Parlimen menyalurkan aduan dan cadangan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Meningkatkan ketelusan
Pada masa sama, DBKL turut memperkenalkan Portal OSC bagi membolehkan pihak berkepentingan dan orang awam menyemak maklumat berkaitan permohonan pembangunan yang sedang diproses sebagai langkah meningkatkan ketelusan.
Menurut beliau, DBKL juga telah memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) dalaman supaya setiap permohonan dinilai berdasarkan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040.
Katanya, sekiranya semua pelan dan dokumen mematuhi syarat yang ditetapkan, keputusan boleh dibuat dalam tempoh seawal 21 hari.
Bagi permohonan yang memerlukan penelitian lanjut, proses rundingan dengan pihak berkuasa, jabatan, pertubuhan dan pihak berkepentingan akan dijalankan mengikut Kaedah-Kaedah (Perancangan) Wilayah Persekutuan (Permohonan untuk Kebenaran Merancang) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2025.
Hannah turut menegaskan bahawa terdapat pengasingan kuasa yang jelas dalam sistem pentadbiran Kuala Lumpur dan setiap keputusan pembangunan perlu dibuat oleh pegawai yang berpengalaman berdasarkan penilaian teknikal serta dasar perancangan yang telah diluluskan.
“Keputusan perancangan bandar mesti dibuat berasaskan fakta, dasar dan undang-undang, bukannya dipengaruhi oleh mana-mana pihak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa sepanjang tempohnya memegang jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), beliau tidak lagi akan memanggil OSC Khas untuk bersidang.
Dalam masa yang sama, beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya mempertimbangkan pemansuhan OSC Khas selaras dengan cadangan reformasi yang dikemukakan oleh Project Capital.
Menurut Hannah, langkah tersebut dijangka dapat mengurangkan lapisan birokrasi yang tidak diperlukan, mempercepatkan proses membuat keputusan serta memastikan akauntabiliti yang lebih jelas dalam sistem penyampaian DBKL.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerana menugaskan Project Capital di bawah PMAC untuk mengenal pasti cabaran serta ruang penambahbaikan dalam pentadbiran DBKL.
Katanya, syor yang dikemukakan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan akauntabiliti dan melaksanakan reformasi institusi demi masa depan Kuala Lumpur.
BACA JUGA ‘Tak usah berlagak macam kitalah yang terpaling’