Tunku Nadzaruddin bukan Yang di-Pertuan Besar Ke-12
Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Itulah nasib Tunku Nadzaruddin yang ditabalkan di sebuah lobi hotel di Melaka baru-baru ini.
Beliau bukan sahaja tidak sah sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bahkan kehilangan gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan
Istana Negeri Sembilan menegaskan bahawa istiadat yang didakwa sebagai Pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka, pada Jumaat lalu adalah tidak sah dan tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang serta adat istiadat negeri itu.
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, berkata sebarang gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil menerusi majlis berkenaan tidak mempunyai sebarang kuasa atau pengiktirafan.
“Adalah dimaklumkan bahawa majlis yang dikatakan sebagai ‘Istiadat Pemasyhuran’ Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah, Melaka pada 5 Jun 2026 adalah tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut Perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.
“Oleh itu, gelaran Yang di-Pertuan Besar yang cuba diambil oleh Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar adalah tidak berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan satu majlis di sebuah resort di Alor Gajah pada Jumaat lalu yang menyaksikan Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Pemasyhuran tersebut diisytiharkan dalam satu majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, yang mewakili Undang Yang Empat.
Bagaimanapun, Azizi menegaskan bahawa istiadat tersebut tidak mempunyai sebarang pengiktirafan rasmi di sisi Perlembagaan Negeri Sembilan, undang-undang mahupun adat istiadat yang menjadi asas institusi diraja negeri itu.
Beliau turut menjelaskan bahawa tindakan menerima gelaran yang tidak sah itu membawa implikasi terhadap kedudukan Tunku Nadzaruddin sendiri.
“Dengan cubaan menerima gelaran yang tidak sah itu, dengan sendirinya Tunku Dato’ Seri Nadzaruddin melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya,” katanya.
Sehubungan itu, menurut beliau, kini tiada lagi penyandang Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar, Putera Yang Empat Negeri Sembilan.
Kenyataan Istana Negeri Sembilan itu sekali gus menolak kesahihan majlis pemasyhuran yang berlangsung di Melaka serta menegaskan bahawa gelaran Yang di-Pertuan Besar yang diumumkan dalam majlis tersebut tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut perlembagaan dan undang-undang negeri.
BACA JUGA Dari DAP ke Umno, kini Bersatu, kenapa Pas sukar kekal dalam pakatan?