Asatizah teruja janji Ketua Pengarah JKOM baharu ajak mereka masuk media kerajaan
Selepas sekian lama terasa dipinggirkan, kini para asatizah penyokong Kerajaan Perpaduan merasa mereka mulai dihargai dan diberi perhatian.
Ini berikutan kenyataan Ketua Pengarah JKOM yang baharu, Hishamudin Ghazali atau Sham Ghaz yang berazam untuk mengenengah para asatizah atau penceramah agama di kalangan penyokong perpaduan berperanan di media milik kerajaan.
Dalam satu posting beliau di facaebooknya, Sham Ghaz meminta para asatizah ini bersedia untuk masuk tv, radio, media sosial dan akhbar.
“Asatizah Perpaduan get ready kita buat come back!
“Naratif AGAMA kena kita kuasai, platform media sosial dan rasmi Kerajaan Malaysia kita susun habis.
“Ready untuk masuk Tv, Radio, Medsos, Newspaper dll,” tulis beliau hari ini.
Dengan tagline ‘jalan terus’, Syam Ghaz dilantik sebagai Ketua Pengarah JKOM ke empat beberapa hari lepas.
Sebelum ini, ramai yang mengkritik kerajaan perpaduan kerana tidak memberi peluang kepada tokoh-tokoh asatizah penyokong Kerajaan Perpaduan di dalam media yang dimiliki kerajaan sendiri termasuk RTM, Bernama dan Jabatan Penerangan.
Bahkan, ramai asatizah yang sentiasa menyerang dasar-dasar kerajaan mendapat tempat di media kerajaan sendiri.
Ini berikutan dari penganjur dan pengurus program berkenaan masih dikuasai oleh penyokong pembangkang khasnya Pas ketika pemimpin kerajaan tidak memandang serius mengenai perkara ini.
Akibat dari sikap lemah dan lembut kerajaan, ramai asatizah penyokong bahkan pemimpin bawahan Pas mendapat tempat di media milik kerajaan sendiri.
Ekoran kenyataan Sham Ghaz itu, ramai para asatizah penyokong Kerajaan Perpaduan mula seronok dan berharap kenyataan Ketua Pengarah JKOM yang baharu ini benar-benar dapat dilaksanakan.
Antara nama asatizah yang diharapkan mendapat tempat di media kerajaan adalah Ustaz Nik Omar Nik Aziz, Ustaz Fauzi Zakaria (bekas setiausaha akhbar Nik Aziz) dan lain-lain nama besar lagi.
Mat Bowey menulis, “Ejah wat naik ustaz nik omar..biar dia jelas apa itu politik,apa itu agama, biar ore jelas lagu mana ore tunggang agama demi kepentingan politik” yang ditulis dalam loghat Kelantan.
Cadangan Sham Ghaz ini disambut baik oleh orang ramai.
“Terbaik.. kadang hairan jugak, kenapa asatizah dan ilmuan takut untuk memberi pencerahan. Dalam forum perdana, ketengahkan ilmuan-ilmuan hebat berforum tajuk sensitif contohnya seperti batas berpolitik, hukum menggeluarkan dalil untuk kepentingan, serta lain-lain yang nampak parah akibat pemahaman keliru yang diasak orang politik,” tulis seorang netizen kepada Sham Ghaz.
Sham Ghaz juga dicadangkan agar berbincang dengan bekas pemimpin TVHijrah, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) untuk menguruskan program sebegini.
Muhammad Ikhwan Mirza menulis, “Ajak ZRA minta dia susun naratif.”
ZRA terkenal dengan ulasan dan aktiviti berani beliau membela rakyat Palestin dan memberikan gambaran sebenar untuk orang ramai melalui ZRA Stream.
Ada juga cadangan agar JKOM menjadi pemuka untuk melahirkan wacana yang benar dan panas untuk memberikan panduan kepada rakyat di negara ini.
Firdaus Musa menulis, “Buat wacana antara kerajaan dan pembangkang. Tengok fakta daripada paling kuat.”
BACA JUGA Umno sedang gali kubur untuk kedua kalinya